My Add

Sunday 19 February 2012

Daftar pengundi di Restoran Sekinchan Ikan Bakar



JAMAL Md. Yunus (berdiri kanan) bersama pekerjanya melihat proses pendaftaran pemilih yang dilakukan pegawai Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR, SABTU, 18 Februari, 2012: Restoran Sekinchan Ikan Bakar (RSIB) hari ini mengadakan kerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuka kaunter pendaftaran pemilih kepada orang ramai agar mereka dapat mengambil bahagian dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Pemilik RSIB, Datuk Jamal Md. Yunos berkata, beliau terpanggil untuk membantu SPR apabila laporan akhbar baru-baru ini menyatakan lebih 3.7 juta rakyat Malaysia yang layak belum mendaftar sebagai pemilih.

"Sebagai rakyat Malaysia, saya risau melihat hasil kajian SPR itu dan terpanggil untuk mengambil bahagian dalam menyedarkan rakyat terutama belia bagi mendaftar dan menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.

"Alhamdulillah, lebih 30 orang yang datang ke restoran hari ini telah membuat semakan dan mendaftar sebagai pemilih. Insya- Allah, kami akan meneruskan kempen ini di cawangan-cawangan lain pula," katanya kepada Mingguan Malaysia hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa promosi daftar pemilih dengan kerjasama Pejabat SPR Wilayah Persekutuan, akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! di RSIB Setiawangsa hari ini.

Tambah Jamal, pihaknya juga akan membuat promosi yang sama di kawasan bersebelahan RSIB Setiawangsa pada pukul 2 petang Ahad ini dengan menyasarkan 1,000 pendaftar pemilih baru.

Bagi Inrakurniawan Abd. Wahab, 36, inisiatif sedemikian memudahkan golongan belia yang sering berjumpa rakan-rakan di kedai makan untuk menyemak dan mendaftar sebagai pemilih.

"Kadangkala golongan belia terlupa dan lewa mendaftar sebagai pemilih. Apabila menjelang pilihan raya, barulah mereka akan menyesal kerana tidak dapat mengundi," ujarnya berasal dari Gombak.

Seorang lagi pengunjung RSIB, Afiq Mohammad Yatollah, 22, dari Subang pula berkata, dia mengambil kesempatan itu untuk mendaftar sebagai pemilih.

Sebelum ini katanya, dia tidak terfikir untuk mendaftar sebagai pemilih.

Bagi Nur Shamim Hashim, 21, dia yang baru mencapai umur sebagai pemilih berasa gembira kerana dapat mendaftar sebagai pengundi hari ini.

"Secara kebetulan saya dan keluarga makan di sini dan apabila melihat terdapat kaunter SPR, maka saya terus membuat pendaftaran sebagai pemilih," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment