My Add

Sunday 19 February 2012

Transformasi lebih baik dari reformasi

KUALA LUMPUR, SABTU, 18 Februari, 2012: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, perkataan transformasi adalah lebih baik daripada reformasi merujuk perubahan kemajuan yang dilakukan Barisan Nasional (BN) di negara ini.

Menurut beliau, perkataan reformasi sering dirujuk sebagai tuntutan perubahan yang melanggar undang-undang, kekacauan dan huru hara.

''Sebagai kerajaan yang memerintah, kita sering melakukan transformasi iaitu perubahan yang bersistematik, dirancang dengan teliti dan teratur,'' kata beliau dalam ucaptama pada persidangan Cina Malaysia di Persimpangan Politik di sini hari ini.

Persidangan dan debat tersebut dianjurkan oleh Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) bersama-sama agensi pemikir MCA, Institut Analisis Strategik Dan Penyelidikan Dasar (Insap).

Menurut Najib, masyarakat Cina yang rata-ratanya ahli perniagaan tidak akan mendapat manfaat melalui reformasi itu kerana ia menyumbang kepada ketidakstabilan dalam ekonomi negara.

''Di bawah kepimpinan BN, Malaysia boleh melakukan pelbagai transformasi melalui keadilan yang sejajar dengan keperluan rakyat,'' katanya.

Malah menurut beliau, melalui polisi yang dilaksanakan oleh BN, ia telah mampu melahirkan ramai billionaire di negara ini.

''Secara langsung atau tidak, mereka menjadi billionaire kerana polisi kerajaan yang memberi konsesi kepada mereka,'' katanya.

Najib menegaskan, kerajaan sentiasa prihatin terhadap keperluan rakyat tanpa mengira kaum.

''Melalui kerajaan sekarang, banyak peluang terbuka kepada semua rakyat namun hanya mereka yang berusaha bersungguh-sungguh akan mendapat manfaatnya,'' ujar beliau. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment