My Add

Thursday 16 February 2012

‘Desakan Nik Aziz tidak mencukupi’

KUALA LUMPUR, RABU, 15 Februari, 2012: Pas perlu membuktikan keikhlasan parti itu memperjuang hak Palestin dengan meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana jelas perbuatan Datuk Seri Anwar Ibrahim menyokong keselamatan Israel adalah haram seperti yang ditegaskan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini.

Bekas Naib Ketua Angkatan Muda PKR, Mohd. Zahid Md. Arip berkata, desakan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat agar Anwar menarik balik kenyataannya dan menyaman The Wall Street Journal (WSJ) tidak mencukupi untuk membuktikan keikhlasan Pas mempertahan perjuangan Palestin.

Menurutnya, desakan Nik Abdul Aziz itu tidak lebih sekadar sandiwara politik jika parti tersebut masih mahu bersama dengan PKR dan pakatan pembangkang sedangkan Anwar secara terbuka menyokong keselamatan Israel, sesuatu yang bertentangan dengan prinsip Pas dan perjuangan umat Islam seluruh dunia.

“Desakan ini perlu disusuli dengan tindakan meninggalkan PKR dan pembangkang dengan segera jika Pas bukan bersandiwara kerana kita melihat Pas hanya sekarang membuka mulut dalam isu sokongan Anwar terhadap keselamatan Israel ini, kenapa selama ini diam kalau Pas benar-benar ikhlas mempertahan Palestin.

“Saya percaya tindakan Nik Abdul Aziz ini lebih kepada kepentingan politik kerana beliau menyedari Pas kini berada dalam situasi yang cukup negatif ekoran kenyataan Anwar, sebab itu baru sekarang mereka berani bersuara,” katanya dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Mursyidul Am Pas itu dalam satu kenyataan yang dianggap paling keras setakat ini mendesak Anwar menarik balik kenyataan menyokong keselamatan Israel dan turut meminta ketua pembangkang itu menyaman WSJ sekiranya kenyataannya diputar-belitkan.

Beberapa hari lalu pula, Abdul Hadi menegaskan Pas menolak penyelesaian dua negara kerana haram bagi mana-mana umat Islam menerima kewujudan Israel, selain telah menjadi fardu ain kepada orang Islam untuk membela dan membebaskan rakyat Palestin yang sekian lama dizalimi rejim zionis.

Dalam perkembangan yang sama, Mohd. Zahid tidak menolak kemungkinan Anwar akan menemui Nik Abdul Aziz dalam masa terdekat ini bagi menyelesaikan isu tersebut dan sebaik sahaja pertemuan itu berlangsung, kedua-dua tokoh pembangkang berkenaan akan menjadikan UMNO sebagai kambing hitam.

“Berdasarkan pengalaman lalu itulah taktik Anwar setiap kali beliau tersepit. Saya percaya selepas bertemu dengan Nik Abdul Aziz, isu Anwar menyokong keselamatan Israel tidak akan timbul lagi sebaliknya yang akan dituduh selepas ini adalah UMNO, kononnya semua ini adalah fitnah UMNO,” dakwanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment