My Add

Thursday 16 February 2012

Nik Aziz tetap pertahankan kerjasama pakatan pembangkang

KOTA BHARU, RABU, 15 Februari, 2012: Biarpun pemimpin-pemimpin DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) secara jelas telah ‘menghina’ Islam namun Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat masih tetap mempertahankan kerjasama Pas dengan kedua-dua parti itu dalam pakatan pembangkang.

Nik Abdul Aziz ketika ditemui hari ini menegaskan beliau tidak bersetuju sama sekali dengan mana-mana desakan daripada ahli Pas di peringkat akar umbi yang mendesak kepimpinan parti agar kembali ke pangkal jalan dan berjuang mengikut prinsip asalnya.

Beliau sebaliknya berkata, Islam merupakan agama yang bersifat tahaluf (kerjasama), justeru tidak ada keperluan untuk Pas mengkaji semula hubungannya dengan pakatan pembangkang.

“Tak boleh, tak boleh. Agama Islam itu tahaluf yang diguna sendiri oleh Nabi Muhammad SAW. Saya tidak setuju langsung (desakan agar Pas kembali ke perjuangan asal dan mengkaji balik hubungan dengan pakatan pembangkang).

“Malah saya nak minta UMNO ubah dasar dia daripada kebangsaan kepada Islam. Tak pasal-pasal ambil kebangsaan yang bukan cara Nabi Muhammad SAW tetapi ajaran mat salleh Eropah,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kota Darulnaim di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan diminta mengulas mengenai desakan pemimpin Pas peringkat akar umbi di Pulau Pinang yang meminta parti itu kembali ke perjuangan asal berikutan tindakan Pengerusi DAP, Karpal Singh mempersoalkan pendirian Pas berhubung sambutan Hari Kekasih dan kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyokong keselamatan Israel.

Mingguan Malaysia baru-baru ini melaporkan kenyataan Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz yang menyelar tindakan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang tidak bersetuju dengan pendirian Pas menentang sambutan Hari Kekasih.

Ini berikutan kenyataan Karpal seperti dilaporkan media baru-baru ini yang menggesa Pas menarik balik pendirian membantah sambutan Hari Kekasih semalam kerana ia mempromosikan aktiviti tidak bermoral.

Menurut Karpal, DAP berpendapat pendirian Pas menentang sambutan Hari Kekasih bukan satu langkah yang baik dan tindakan Pas juga bertentangan dengan hak asasi manusia dan prinsip kebebasan.

Beberapa tahun lalu, Karpal pernah mencabar Pas supaya melangkah mayat beliau terlebih dahulu sekiranya mahu meneruskan hasrat untuk melaksanakan hukum hudud dan menubuhkan negara Islam.

Kenyataan terbaru yang dikeluarkan Karpal ini merupakan rentetan kepada pelbagai tindakan pemimpin pembangkang yang mencabar orang Islam kerana sebelum ini Anwar sendiri turut mengguris hati penganut agama Islam di seluruh dunia apabila menyatakan kepada The Wall Street Journal (WSJ) bahawa beliau menyokong usaha melindungi keselamatan negara Israel.

Sehubungan itu, Pas melalui Majlis Syuranya mendesak supaya Anwar menarik balik kenyataannya itu secara terbuka atau menyaman WSJ jika kenyataannya telah diputar-belitkan oleh media berkenaan - UTUSAN

No comments:

Post a Comment