My Add

Saturday 18 February 2012

Dua beradik tidak sekolah

Oleh ZULHISHAM ISAHAK

LEDANG, JUMAAT, 17 Februari, 2012: Dua beradik dari kampung Melepang, Sagil, dekat sini bukan sahaja ditinggalkan ibu bapa mereka, malah tidak dapat bersekolah kerana tidak memiliki sijil kelahiran.

Adik beradik malang tersebut, Mohamad Amin, 11, dan adiknya, Aishah, 10, yang kini dipelihara sebuah keluarga angkat hingga kini tidak tahu menulis serta membaca kerana tidak pernah bersekolah.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Ledang, Nurhayati Abdul Kadir berkata, dua beradik berkenaan mempunyai sijil lahir tetapi disimpan oleh ibu mereka yang menghilangkan diri sejak 10 tahun lalu.

Menurutnya, penjaga kanak-kanak itu yang berusia 55 tahun memberitahu, ibu mereka membawa bersama sijil lahir kedua-dua anaknya ketika menghilangkan diri.

"Penjaga mereka pernah hadir ke Jabatan Pendaftaran Negara untuk mendaftarkan dua beradik itu, tetapi tidak dibenarkan berikutan tiada dokumen sokongan.

"Kami bimbang jika terus tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, mereka akan terabai dan tidak dapat menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain terutama untuk mendapat pendidikan sempurna," katanya di sini hari ini.

Difahamkan, ibu bapa dua beradik itu tidak pernah menjenguk anak-anak mereka sejak menghilangkan diri dan tidak diketahui hingga kini di mana mereka berada.

Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama orang ramai bagi mengenal pasti ibu bapa dua beradik berkenaan bagi membolehkan mereka diberi pendidikan dan menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment