My Add

Saturday 18 February 2012

Pasukan teknikal RISDA ke Kemboja bulan depan

PUTRAJAYA, JUMAAT, 17 Februari, 2012: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) akan menghantar satu pasukan teknikal ke Kemboja bulan depan bagi membantu negara itu membangunkan penanaman getah.

Pengerusinya, Tan Sri Rahim Tamby Chik berkata, pasukan khas itu akan menyalurkan bantuan dari segi kepakaran dan teknologi yang pernah dilaksanakan di sini.

Katanya, ia berikutan kekaguman Kemboja terhadap kebolehan Malaysia yang berjaya membantu pekebun kecil keluar daripada kepompong kemiskinan.

"Ketua Pengarah RISDA, Datuk Wan Mohamad Zuki Mohamad akan mengetuai lawatan itu di mana kita akan mengambil peluang ini untuk melabur di sana.

"Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen sendiri yang menjemput kita kerana mereka tahu teknologi penanaman getah yang ada di sini tidak wujud di tempat lain," katanya semasa merasmikan majlis Boling RISDA Bersama Media di sini, semalam.

Pada majlis itu seramai 54 pengamal media dari 19 pelbagai agensi media bersama 25 warga RISDA menyertai pertandingan yang julung kali dianjurkan RISDA untuk memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada media.

Tambah Rahim, RISDA juga akan mengadakan seminar ekonomi dengan kerjasama negara itu di sana pada tahun ini.

Menurutnya, seminar itu akan memberi peluang kepada pelabur kedua-dua negara untuk meneroka bidang pertanian.

"Selain getah kita juga akan mencadangkan penanaman jagung, padi, serai dan lain-lain lagi di Phnom Penh pada masa hadapan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, RISDA akan melaksanakan kempen membaja secara besar-besaran ke seluruh negara pada tahun ini untuk meningkatkan produktiviti hasil tanaman para pesertanya.

"Kita akan melaksanakan program Good Agriculture Practices (GAP) supaya pekebun kecil ini dapat meningkatkan teknik pembajaan yang betul dan tiada lagi kemiskinan di kalangan mereka," katanya.

Mengenai acara boling tersebut, Rahim berharap ia diadakan dengan tema santai dan kekeluargaan akan dapat mengeratkan hubungan antara RISDA dengan media.

Hadir sama pada acara itu ialah Wan Mohamad Zuki Mohamad; Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), Mohamat Muda dan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Korporat) RISDA , Ahmad Sufi Alias.

Juara acara berkenaan digondol oleh pasukan Sinar Harian dengan skor 1,520 mata, diikuti pasukan RTM dan pasukan Bernama. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment