My Add

Saturday 18 February 2012

PPIM kesal tindakan institusi perbankan Islam

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 17 Februari, 20122: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) kesal terhadap sesetengah institusi perbankan Islam yang gagal mengamalkan sepenuhnya konsep perbankan itu seperti ditetapkan hukum syarak.

Penasihatnya, Tunku Azwil Tunku Abd Razak berkata, tindakan itu bukan sahaja menyebabkan pengguna terbeban tetapi memberi imej yang tidak baik terhadap konsep perbankan Islam dan agama itu sendiri.

Katanya, nama perbankan Islam seolah-olah telah diguna oleh institusi perbankan berkenaan hanya untuk menarik pengguna beragama Islam.

“Mereka seolah-olah menjual nama Islam untuk menarik pengguna dengan adanya urusan akad jual beli.

“Tetapi apabila timbul masalah berkaitan pembayaran, mereka bertindak menghukum dengan menggunakan sistem perbankan konvensional.

“Ini tiada bezanya dengan konsep riba, cuma menggunakan nama dan kaedah yang berbeza,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Agung PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya telah menerima lebih 1,000 aduan pengguna yang mendakwa ditindas oleh bank yang menggunakan sistem perbankan tersebut.

“Kebelakangan ini PPIM sering menerima aduan pengguna berhubung kezaliman sistem perbankan Islam yang dilihat sebagai menekan dan tiada nilai kemanusiaan.

“Ini secara jelas bertentangan dengan nilai- nilai Islam itu sendiri dan perkara ini harus diperbetulkan agar imej dan nama Islam itu tidak terus disalah guna pihak yang hanya mahu mengaut keuntungan semata-mata,” katanya.

Aktivis PPIM, Abdul Kareem Said Khadaid berkata, tindakan sesetengah bank itu telah merosakkan imej Islam di mata masyarakat.

“Sesiapa yang menggunakan nama Islam itu seharusnya bertindak dengan berlandaskan hukum syarak dan tidak menyalahgunakannya,” tambahnya.

Beliau turut menggesa pengguna yang dianiaya melalui sistem tersebut tampil membuat aduan kepada persatuan itu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment