My Add

Sunday 26 February 2012

Ekspo EITF untuk mempromosi produk dan perkhidmatan

Oleh SITI HAJJAR ABDULLAH

KUALA LUMPUR, SABTU, 25 Februari, 2012: Ekspo Ilmu Keusahawanan dan Inovasi 2012 (EITF 2012) dari semalam hingga esok dijadikan landasan oleh beberapa usahawan untuk memperkembangkan jaringan perniagaan dalam industri kreatif serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Antaranya On Nine Smart Resources iaitu syarikat yang menawarkan perkhidmatan tuisyen matematik secara dalam talian iaitu konsep baharu yang terbukti mampu menjimatkan kos ibu bapa.

Pengarah Urusannya, Wan Haffizi Wan Hassan berkata, melalui perkhidmatan itu ibu bapa tidak perlu lagi menghantar anak-anak ke pusat tuisyen berbayar.

"Produk ini mengetengahkan konsep 'bawa guru balik ke rumah' di mana pelajar seolah-olah belajar dengan guru walaupun tidak berada di pusat tuisyen," katanya.

Beliau ditemui di ekspo anjuran Drumah Homley Publication Sdn. Bhd. yang berlangsung di Pusat Pameran MidValley Megamall di sini.

Sementara itu, pemilik Butik Paulini, Salini Idris pula menawarkan pengunjung aksesori klasik yang diperbuat daripada saduran emas dan perak.

Menurutnya, selain perhiasan diri, butik itu juga mengambil tempahan khas daripada syarikat korporat.

"Produk ini bukan sahaja dipasarkan di Malaysia, malah berjaya menembusi pasaran dunia seperti di Perancis, Rusia, India, Itali dan Hong Kong,” katanya.

Menurut Salini, koleksi aksesori itu bukan sahaja klasik tetapi juga kekal lama, mudah dibentuk dan diadun dengan sentuhan kontemporari. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment