My Add

Sunday 26 February 2012

Amaran kes penyakit HFMD mungkin bertukar menjadi wabak

PETALING JAYA, SABTU, 25 Februari, 2012: Peningkatan tiga kali ganda kes penyakit berjangkit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Sarawak memberi amaran dan tanda awal bahawa penyakit itu berkemungkinan besar akan bertukar menjadi wabak.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, bilangan kes yang dilaporkan pada minggu ketujuh tahun ini menunjukkan peningkatan kepada 806 kes berbanding 230 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

“Keadaan ini menunjukkan adanya tanda-tanda awal bahawa HFMD akan bertukar menjadi wabak kerana berdasarkan pemantauan dan pengalaman sebelum ini, penularan wabak berkenaan akan berulang setiap tiga tahun.

“Kajian menerusi sampel yang diperoleh mendapati hanya seorang pesakit yang dijangkiti virus Coxsackie A manakala yang lain dijangkiti virus EV-71,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Klinik Kesihatan Taman Medan, daerah Petaling di sini hari ini.

Tambah Tiong Lai, Kuching mencatatkan bilangan kes yang tertinggi iaitu 295 kes diikuti Bintulu sebanyak 112 kes, Betong (85), Samarahan (70) dan Miri (65).

“Kementerian akan menambah bilangan kakitangan di beberapa kawasan yang dikenal pasti sebagai langkah pencegahan sebelum ia bertukar menjadi wabak.

“Saya juga ingin menasihatkan orang ramai termasuk pihak sekolah dan tadika supaya sentiasa menjaga kebersihan diri dan persekitaran,” ujarnya.

Mengenai penyakit serupa influenza (ILI) di Melaka, Tiong Lai memberitahu, pihaknya telah mengenal pasti bahawa virus yang dijangkiti pelajar Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah, Ayer Keroh adalah influenza B.

“Seramai 51 pesakit masih dikuarantin iaitu 32 lelaki dan 24 perempuan dan tiada kes terbaru dilaporkan,” jelasnya. – UTUSAN

No comments:

Post a Comment