My Add

Sunday 26 February 2012

Penyertaan bukan bumiputera dalam ATM masih rendah

Oleh LEE HOOI BOON

PULAU PINANG, SABTU, 25 Februari, 2012: Jumlah penyertaan golongan bukan bumiputera dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) masih rendah berbanding dengan kaum lain.

Sehubungan itu Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ismail Ahmad berkata, pihaknya menyasarkan seramai 1,000 bukan bumiputera akan menyertai ATM pada tahun ini.

Menurutnya, bagi menggalakkan lagi penyertaan bukan bumiputera dalam pasukan keselamatan itu, mereka juga dialu-alukan untuk memohon di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bagi melanjutkan pelajaran pada sesi pengambilan kedua dan ketiga yang bakal diadakan nanti.

"Saya harap lebih ramai golongan berkenaan akan menyertai ATM untuk berkhidmat kepada negara," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Karnival 1Mindef di Padang Kota Lama di sini hari ini.

Karnival 1Mindef julung kali diadakan di Pulau Pinang bagi menarik perhatian penduduk di wilayah utara untuk mengunjungi karnival bagi membolehkan mereka memahami mengenai peranan yang dimainkan oleh anggota ATM.

Sebanyak 24 gerai dibuka di karnival tersebut membabitkan organisasi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menurut Ismail, setakat ini jumlah anggota ATM termasuk Tentera Darat, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) adalah 100,000 orang dan kebanyakan terdiri daripada kaum Melayu.

Mengenai karnival 1Mindef, Ismail memberitahu, pihaknya akan terus mengadakan empat lagi karnival di Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia.

Dalam perkembangan lain, tambah beliau, kementerian akan mempertimbangkan untuk menubuhkan satu lagi Platun Media Askar Wataniah di Pulau Pinang sekiranya terdapat banyak wartawan di wilayah utara berminat menyertai pertubuhan berkenaan.

"Kini terdapat satu Platun Media Askar Wataniah di Kuala Lumpur dan terdapat 100 pemohon untuk menyertai tetapi hanya 29 orang mempunyai kelayakan menjadi anggota selepas mengambil beberapa ujian fizikal dan mental," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment