My Add

Monday 20 February 2012

Tandatangan sejuta rakyat desak serah air pada SPAN

KOTA BHARU, AHAD, 19 Februari, 2012: Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini akan bergabung untuk mengadakan perhimpunan aman Sabtu ini bagi melancarkan gerakan mengumpul tandatangan sejuta rakyat mendesak kerajaan Pas Kelantan supaya menyerahkan pengurusan air kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Presiden Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK), Azmi Ali berkata, ia adalah susulan penyerahan memorandum berhubung perkara berkaitan pada 4 Januari lalu yang sehingga kini masih tidak mendapat sebarang maklum balas daripada kerajaan negeri.

"Kali ini kita akan lancarkan gerakan itu (mengumpul sejuta tandatangan) ke semua jajahan terutamanya kawasan yang terlibat dengan masalah air sebelum menyerah ia kepada pimpinan kerajaan negeri dalam satu himpunan yang lebih besar di hadapan pusat pentadbiran kerajaan negeri.

"Tindakan kita bukan berorientasikan politik tetapi berdasarkan aspirasi rakyat. Cukuplah untuk meletakkan rakyat negeri ini dalam kancah penderitaan, sudah lama kami bersabar berhubung masalah air ini," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Pada 4 Januari lalu tiga NGO diketuai MTRK menyerahkan memorandum mendesak kerajaan Pas Kelantan menerima pelan cadangan SPAN untuk menyelesaikan masalah bekalan air di negeri ini.

Menerusi memorandum tersebut NGO berkenaan memberi tempoh dua bulan kepada kerajaan Pas Kelantan menyelesaikan isu besar dan melibatkan kepentingan semua pihak terutama rakyat.

Azmi berkata, Kerajaan negeri seolah-olah tidak mempedulikan isu rakyat terutama dalam masalah air yang telah berlarutan sejak 21 tahun biarpun menerima desakan banyak pihak agar ia diselesaikan segera memandangkan bantuan sebanyak RM600 juta bagi mengatasi masalah tersebut telah diberikan oleh kerajaan Pusat.

Beliau mendakwa, tindakan kerajaan negeri yang terus berdiam diri daripada menerima cadangan kerajaan Pusat supaya SPAN mengambil alih urus tadbir air selepas mereka gagal menyelesaikan isu tersebut telah menjadi tanda tanya banyak pihak selain menggambarkan keangkuhan pemimpin negeri ini yang tidak mahu menerima pendapat orang lain.

"Saya kira jika SPAN mengambil alih urusan ini, sudah lama masalah air akan selesai dan rakyat tidak terus terbelenggu dengan masalah ini," tegas beliau.

Katanya, perhimpunan yang bakal diadakan di padang berhampiran pusat beli belah Tesco di sini itu melibatkan 20 NGO termasuk Persatuan Koperasi Guru-guru Kelantan, pemandu teksi dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).

Beliau yang akan mengetuai perhimpunan tersebut menjangkakan 2,000 rakyat akan keluar pada hari tersebut bagi menyatakan kekesalan mereka terhadap pentadbiran Kerajaan Pas Kelantan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment