My Add

Monday 13 February 2012

Hari Kekasih: Mashitah persoal pendirian Nik Aziz

KUALA LUMPUR, AHAD, 12 Februari, 2012: Tindakan Pas yang hanya mendiamkan diri berhubung gesaan DAP meminta parti itu menyokong sambutan Hari Kekasih atau Valentine's Day membuktikan parti tersebut sudah terkeluar dari landasan perjuangan Islam.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana, Senator Datuk Mashitah Ibrahim (gambar) berkata, pendirian Pas dalam menjaga kepentingan Islam sentiasa berubah setiap kali dipersoal DAP atau Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Katanya, semua itu berlaku semata-mata mahu menjaga kepentingan politik parti itu dalam pakatan pembangkang.

Menurutnya, keadaan itu jelas ditunjukkan Pas khususnya Mursyidul Amnya, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang sehingga kini mendiamkan diri apabila Pengerusi DAP, Karpal Singh meminta parti itu menyokong sambutan tersebut memandang ia berkaitan hak kebebasan individu.

''Saya ingin bertanya kepada Nik Aziz, kenapa hari ini pendirian tidak teguh dan seperti tiada haluan serta mereka seperti ramai nakhoda sehingga ada dalam kalangan mereka keliru untuk mengikut haluan pemimpin yang mana satu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Karpal dalam portal freemalaysiatoday yang menggesa Pas mempertimbangkan pendirian parti itu berhubung sambutan Hari Kekasih.

Kata dua itu dibuat ekoran tindakan Pemuda Pas yang menentang keras sambutan Hari Kekasih dalam kalangan umat Islam kerana ia dikatakan menjadi pencetus kepada aktiviti tidak bermoral.

Menurutnya, tindak-tanduk Pas dalam perkara itu jelas membuktikan kepimpinan parti berkenaan sudah berubah berbanding perjuangan Pas terdahulu yang mementingkan perjuangan Islam.

''Pas tidak lagi memperjuangkan Islam sebaliknya lebih kepada perjuangan pro-Anwar Ibrahim, pro-Israel dan menyokong isu murtad.

''Sebab itu, Pas tidak terlibat atau menyokong penganjuran Perhimpunan Sejuta Umat (Himpun) malah menolak perjuangan Datuk Dr. Hasan Ali yang lantang memperjuangkan isu murtad dan memecat bekas Pesuruhjaya Pas Selangor itu dari Pas," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta umat Islam agar menilai kembali perjuangan Pas terutama Nik Aziz yang semakin keliru dengan hala tuju dan matlamat perjuangan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment