My Add

Monday 13 February 2012

Rayu naikkan elaun RM500

Oleh RIZANIZAM ABDUL HAMID

MELAKA, AHAD, 12 Februari, 2012: Persatuan Ketua Kampung/Sidang Melaka merayu kepada kerajaan negeri supaya menaikkan elaun yang diterima ketika ini selaras dengan tanggungjawab mereka untuk memimpin penduduk yang kian bertambah.

Setiausahanya, Moomin Seman berharap agar elaun mereka dapat dinaikkan sekali ganda iaitu daripada antara RM250 dan RM350 sebulan mengikut tempoh jawatan itu dipegang ketika ini kepada RM500.

Menurut beliau, jika dulu mereka hanya mentadbir kira-kira 20 rumah dalam satu mukim dengan kapasiti penduduk seramai 150 orang, angka itu kini meningkat sehingga lebih 2,000 orang

"Oleh itu, kalau hendak dibandingkan dengan tugas dan peranan kami yang semakin mencabar itu, elaun ini mungkin boleh ditambah dan diselaraskan kepada sekurang-kurangnya RM500 sebulan.

"Tambahan pula sekarang ini, setiap anggota masyarakat meletakkan harapan yang tinggi agar sesuatu masalah itu dapat diselesaikan dengan cepat sesuai dengan status Melaka sebagai negeri maju," katanya

Beliau ditemui selepas perasmian Program Penerangan Insurans Keselamatan dan Jenayah Tanggungjawab Bersama anjuran persatuan itu, di sini semalam.

Program tersebut dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian negeri, Datuk R. Perumal.

Moomin berkata, pada masa sama, pihaknya mengucapkan terima kasih terhadap keprihatinan kerajaan negeri yang telah menaikkan elaun itu sebelum ini daripada RM120 kepada maksimum RM350 kira-kira enam tahun lalu.

Mengenai program tersebut, beliau berkata, ia bertujuan memberikan penerangan mengenai insurans keselamatan yang ditawarkan kerajaan negeri kepada Sidang di negeri ini selain memberi taklimat tentang peranan Sidang dalam membasmi jenayah.

"Sebelum ini, ramai Sidang yang masih keliru dengan insurans keselamatan yang ditawarkan sehingga kadangkala menimbulkan salah faham antara mereka.

"Justeru, menerusi program ini saya berharap mereka dapat memahami matlamat dan kaedah pemberian insurans keselamatan ini sekali gus mengelak salah faham antara kerajaan negeri dan pemimpin masyarakat setempat," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment