My Add

Friday 17 February 2012

Ikram cari punca tanah mendap

SHAH ALAM, KHAMIS, 16 Februari, 2012: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah meminta Institut Kerja raya Malaysia (Ikram) untuk membuat analisis dan kajian berhubung masalah tanah mendap yang berlaku di kawasan perumahan Jalan Plumbum, Seksyen 7 di sini.

Timbalan Pengarah Komunikasi Korporatnya, Shahrin Ahmad berkata, Ikram dan Bahagian Geoteknikal, Jabatan Kejuruteraan MBSA telah membuat tinjauan awal di kawasan tersebut semalam.

"Pegawai Ikram dijadual melawat lokasi kejadian hari ini bagi membuat analisis dan pengumpulan data berhubung masalah tanah mendap di kawasan tersebut.

"Melalui kajian dan hasil analisis yang dibuat oleh pihak Ikram ini, kita akan dapat mengenal pasti punca kejadian tersebut dan seterusnya mencadangkan tindakan pembaikan, pencegahan dan penambahbaikan yang akan diambil bagi mengatasi masalah itu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Shahrin memberitahu, MBSA akan menyelaraskan tindakan dengan agensi dan pihak berkaitan khususnya Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bagi memastikan masalah tersebut dapat diselesaikan dengan segera bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan penduduk di kawasan tersebut terjamin.

Menurut beliau, sebarang aduan boleh dibuat di Bahagian Audit Dalam dan Pengaduan Awam di talian 03-55105133 sambungan 254, 501 dan 536 atau emel di aduan@mbsa.gov.my.

"Orang ramai juga boleh menghubungi bilik gerakan bencana MBSA yang beroperasi 24 jam untuk membuat aduan berhubung tanah runtuh, banjir, pembuangan sampah haram dan pembakaran terbuka dan sebagainya," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment