My Add

Friday 17 February 2012

Logo halal Jakim disalah guna kaburi pelanggan

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 16 Februari, 2012: Sesetengah pengusaha premis perniagaan makanan didapati menyalahgunakan logo pengesahan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi mengaburi pengunjung.

Presiden Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Datuk Seri Dr. Saharuddin Awang Yahya berkata, serbuan yang dilakukan oleh pihaknya mendapati sesetengah premis perniagaan mempamerkan logo halal tanpa mendapat pengesahan daripada Jakim terlebih dahulu.

"Alasan yang sering digunakan mereka adalah telah memohon kepada Jakim, tetapi itu tidak membenarkan mereka mempamerkan logo tersebut kerana status pengesahan halal masih belum diterima.

"Selain itu, ada juga pengusaha yang bertindak membelakangkan undang-undang dengan menggunakan satu sijil halal untuk beberapa cawangannya.

"Sepatutnya, satu sijil halal hanya untuk satu premis perniagaan sahaja dan bukan termasuk cawangan-cawangan yang mereka miliki di lokasi lain," katanya selepas satu serbuan yang diadakan di beberapa premis perniagaan di sini, hari ini.

Serbuan yang diadakan secara mengejut itu melibatkan seramai 10 anggota skuad pemantau di bawah LPKPM, enam penguat kuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan wakil Kementerian Kesihatan.

Saharuddin berkata, beberapa serbuan yang mereka lakukan sepanjang awal tahun ini sahaja sudah menemukan lebih daripada 20 buah premis perniagaan yang melakukan kesalahan dengan memaparkan logo halal yang tidak diiktiraf oleh Jakim.

"Selain daripada penyalahgunaan logo tersebut, antara kesalahan lain adalah penggunaan ayat-ayat suci al-Quran dan juga aspek kebersihan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment