My Add

Friday 17 February 2012

Penduduk akur kena pindah

Oleh NUR NAZLINA NADZAR

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 16 Februari, 2012:  Setelah lebih setahun bertahan, akhirnya 34 keluarga di rumah pangsa empat tingkat Kampung Kerinchi bersedia untuk berpindah dari rumah mereka.

Mereka yang sebelum ini enggan berpindah sudah menerima borang K daripada Pejabat Tanah dan Galian dan diarahkan untuk mengosongkan kawasan terbabit mengikut Akta Pengambilan Tanah.

Namun, mereka kini buntu untuk mencari tempat tinggal yang baru dengan wang pampasan sebanyak RM73,000 yang mereka terima dan meminta kerajaan menyediakan rumah untuk mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Rumah Pangsa Kerinchi, Hashim Selim, 67, berkata, penduduk bersedia untuk keluar dari situ tetapi mereka tidak mempunyai tempat tinggal.

Menurutnya, dengan wang pampasan sebanyak RM73,000 sahaja, amat sukar bagi mereka mencari rumah lain di ibu kota.

“Kami berharap agar rumah dapat disediakan kepada kami semua iaitu 34 keluarga yang masih tinggal di sini. Kami adalah rakyat Malaysia dan penduduk asal di sini dan bukannya pendatang asing,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, penduduk sedih dengan langkah pihak berkuasa menggunakan Akta Pengambilan Tanah untuk memaksa penduduk keluar sedangkan rundingan masih boleh diadakan.

“Perkara ini telah memberi tekanan kepada penduduk dan ahli keluarga mereka kerana ada juga yang sudah kematian suami dan isteri dan kejadian ini amat menyusahkan mereka,” katanya.

Projek pembangunan semula rumah pangsa Kampung Kerinchi tidak dapat dilaksanakan kerana mendapat bantahan daripada 10 peratus penduduk yang masih was-was dengan pemaju projek itu walaupun kerajaan memberi jaminan yang mereka akan diberikan rumah di situ.

Berikutan itu, Akta Pengambilan Tanah telah digunakan bagi meneruskan projek terbabit yang sudah berlarutan lebih setahun dan proses rundingan dikatakan tidak menampakkan kesan positif.

Hashim menegaskan, walaupun mereka bersedia untuk keluar, namun mereka masih tetap dengan pendirian untuk memperjuangkan hak mereka di mahkamah.

“Kami akan meneruskan tuntutan kami iaitu meminta pampasan sebanyak RM600,000 bagi setiap rumah kerana kami yakin itulah nilai kepada potensi yang ada di kawasan ini,” jelasnya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Zulkifli Embon, 45, berkata, mereka tidak menolak pembangunan tetapi tidak yakin pihak pemaju yang tidak memberikan surat perjanjian kepada pemilik.

“Kami hanya mempertahankan hak individu tetapi kami dianggap pula seperti penjenayah oleh penduduk yang bersetuju kerana telah menyebabkan projek ini tidak dapat dijalankan,” ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment