My Add

Friday 17 February 2012

TPM tunggu siasatan fidlot, hormati pandangan Dr. Mahathir

KUANTAN, KHAMIS, 16 Februari, 2012: Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menunggu hasil siasatan pihak berkuasa berhubung isu Pusat Fidlot Nasional (NFC) sebelum mengeluarkan sebarang pandangan yang menyentuh kedudukan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, ini bagi mengelak sebarang kenyataan bersifat mendahului siasatan di samping menghindari prasangka buruk biar pun pada masa sama menghormati pandangan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang meminta Shahrizat supaya berundur.

Tambah Muhyiddin, dalam hal yang berkaitan siasatan dan undang- undang seperti isu ini, adalah tidak wajar untuk beliau membuat kenyataan politik sebaliknya lebih elok semua pihak bersabar menunggu pengumuman pihak bertanggungjawab.

"Apabila ada keputusan selepas ini, pihak yang terlibat sama ada Shahrizat boleh buat keputusannya sendiri. Kita tidak boleh mendahului dengan membuat andaian yang kita sendiri tidak ada maklumat sebab ini masih di peringkat siasatan," katanya.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri perjumpaan bersama pemimpin UMNO negeri yang turut dihadiri Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Pengerusi Badan Perhubungan negeri, Datuk Seri Adnan Yaakob di sebuah hotel di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas pandangan Dr. Mahathir semalam yang berpendapat Shahrizat perlu meletak jawatan sekiranya berasakan tindakan tersebut terbaik buat UMNO.

Begitupun, tegas Dr. Mahathir, beliau secara peribadi tidak pernah meminta Shahrizat berbuat demikian, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada Ketua Wanita UMNO itu untuk membuat sebarang keputusan.

Mengenai kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz hari ini yang mendedahkan NFC telah melanggar syarat perjanjian kerana menggunakan wang pinjaman untuk tujuan lain, Muhyiddin berkata, beliau tidak mempunyai maklumat mengenai perkara berkenaan.

Menurutnya, sebab itu selagi tiada kenyataan yang dikeluarkan pihak yang bertanggungjawab dalam siasatan isu berkenaan, maka kenyataan Mohamed Nazri itu masih dilihat satu andaian.

"Saya tak tahu Nazri ada privileged information (maklumat dari pihak berkuasa), tetapi saya tak ada. Eloklah kita tunggu Peguam Negara buat pengumuman sesuai bila siasatan itu selesai dilakukan," jelasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment