My Add

Tuesday 14 February 2012

Injunksi, saman PKNS ditarik balik

SHAH ALAM, ISNIN, 13 Februari, 2012: Persatuan Peniaga-peniaga Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) hari ini menarik balik permohonan bagi mendapatkan perintah injunksi dan tuntutan saman terhadap perbadanan itu yang difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 6 Disember tahun lalu.

Yang Dipertuanya, Amran Yahya berkata, penarikan balik permohonan injunksi dan tuntutan saman itu dibuat setelah pihaknya mencapai persetujuan dalam satu perjumpaan bersama Timbalan Pengurus Besar Pentadbiran dan Pembangunan PKNS, Noraidah Mohd. Yusof pada Rabu lalu.

"PKNS akan mengkaji semula kenaikan sewa pada kadar baru dan berpatutan seperti diminta penyewa.

"Kadar sewa lama bagi premis di Kompleks PKNS akan dikekalkan sehingga ke satu masa di mana pihak PKNS akan memutuskan kadar sewa baru. Mereka akan membawa perkara ini ke Mesyuarat Lembaga Pengarah PKNS pada 28 Februari ini," katanya pada sidang media di Kompleks PKNS Shah Alam di sini hari ini.

Turut hadir ialah kira-kira 20 peniaga dan penyewa premis perniagaan di Kompleks PKNS Shah Alam.

Pada 6 Disember lalu, Persatuan Peniaga-Peniaga PKNS memfailkan permohonan injunksi bagi menghalang perbadanan itu menaikkan kadar sewa premis perniagaan di kompleks tersebut berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Amran Yahya selaku plaintif memfailkan tuntutan bagi pihak penyewa Kompleks PKNS di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini melalui Tetuan Kamarudin & Partners dan menamakan PKNS sebagai defendan.

Dalam pernyataan tuntutannya, plaintif mendakwa pada 9 November lalu, PKNS tanpa sebarang perbincangan telah memberi notis dalam tempoh dua hingga tujuh hari kepada penyewa untuk menaikkan kadar sewa sebanyak 70 hingga 100 peratus.

Sementara itu, peguam yang mewakili para peniaga berkenaan, Kamarudin Ahmad berkata, penyewa premis di Kompleks PKNS Shah Alam telah pun mencapai persetujuan dengan pihak PKNS mengenai tuntutan saman yang mereka failkan terhadap perbadanan itu pada hujung tahun lalu.

"Dengan persetujuan yang dicapai maka kami sebagai peguam yang mewakili penyewa tersebut telah menarik balik tuntutan saman terhadap PKNS dan perintah injunksi terhadap perbadanan itu telah diketepikan," ujarnya.- UTUSAN

No comments:

Post a Comment