My Add

Tuesday 14 February 2012

Penduduk minta ikut pelan asal

KUALA LUMPUR, ISNIN, 13 Februari, 2012: Penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Intan Baiduri, Kepong meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membina jalan dari perumahan itu ke Lebuh raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) mengikut pelan asal.

Pengerusi Persatuan Penduduknya, Mohd. Alim Ibrahim berkata, mengikut pelan asal, jalan tersebut sepatutnya melalui belakang PPR itu tetapi telah dibina melalui bahagian hadapan Blok A.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan jalan yang sepatutnya menjadi laluan dalaman kawasan perumahan berkenaan menjadi sesak kerana turut digunakan sebagai jalan pintas oleh penduduk berhampiran untuk ke MRR2.

"Sudah banyak kemalangan berlaku dan ada di antaranya menyebabkan kematian. Permintaan bagi mengubah jalan mengikut pelan asal ini telah dibawa kepada DBKL dan berharap ditunaikan," katanya ketika ditemui di PPR tersebut di sini baru-baru ini.

Sementara itu, seorang penduduk, Yuniza Yusof, 33, berkata, kenderaan yang tidak putus-putus melalui kawasan perumahan itu menjadikan keselamatan penduduk terutamanya kanak-kanak terancam.

"Jalan ini sepatutnya menjadi jalan dalam perumahan untuk digunakan oleh penduduk PPR Intan Baiduri sahaja.

"Sebagai ibu saya risau dengan keselamatan kanak-kanak yang bermain di kawasan ini kerana takut berlaku perkara yang tidak diingini," ujarnya.

Seorang lagi penduduk, Diri Masardi, 40, berkata, pada hari persekolahan, keadaan menjadi lebih sesak kerana ramai yang akan melalui jalan itu pada waktu pagi untuk menghantar anak-anak ke sekolah. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment