My Add

Saturday 18 February 2012

Insurans: Kedegilan majikan punca kerajaan rugi RM1.6 juta

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 17 Februari, 2012: Kedegilan majikan melanggan Skim Perlindungan Insurans Kesihatan Pekerja Asing (SPIKPA) menyebabkan lebih RM1.6 juta duit cukai rakyat dibazirkan untuk menampung kos bil hospital.

Biarpun telah diwartakan pada 1 Januari 2011, SPIKPA masih tidak mendapat sambutan dengan hanya 1.4 juta polisi insurans dilanggan berbanding lebih tiga juta anggaran pekerja asing berdaftar.

''Jumlah yang melanggan tidak termasuk pembantu rumah dan ladang dari Sabah dan Sarawak,'' kata Pengarah Bahagian Kesihatan dan Ekonomi Isi Rumah Berpendapatan Rendah, Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), Chua Hong Teck.

Menurutnya, majikan dan pihak terlibat seperti persatuan pekerja pembantu rumah dan ladang enggan membeli insurans untuk melindungi pekerja mereka dan apabila pekerja itu sakit dan dirawat di hospital, bil tidak dijelaskan oleh majikan.

"Antara RM5 hingga RM6 juta bil tertunggak datangnya daripada golongan berkenaan. Siapa yang kena bayar? Tentulah duit pembayar cukai," kata beliau ketika ditemui pada hari Kedua Persidangan Transformasi Nasional di sini hari ini.

Hong Teck menjelaskan, pekerja asing berhak menerima rawatan di hospital dan doktor perlu merawat mereka sekiranya keadaan memerlukan kerana ini adalah etika perubatan yang perlu dipatuhi.

Katanya, bayaran perubatan yang dikenakan kepada mereka adalah tinggi iaitu mengikut kadar kelas pertama sekali gus menyebabkan kos bil tertunggak tinggi.

"Mereka datang ke hospital untuk dirawat, kemudian tidak menjelaskan bil walaupun dihantar sendiri oleh majikan masing-masing. Yang tidak bayar bukan mereka tetapi majikan mereka.

"Perkara ini tidak berlaku jika mereka memiliki SPIKPA yang memberikan perlindungan sehingga RM10,000," katanya.

Menurutnya, dasar di luar negara menetapkan setiap pekerja atau pelajar asing perlu memiliki insurans sebelum dibenarkan masuk ke negara berkenaan.

"Jabatan Imigresen perlu memastikan golongan ini memiliki insurans sebelum meluluskan permit kerja bagi mengelakkan keadaan sekarang semakin teruk," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment