My Add

Saturday 18 February 2012

51 penghuffaz al-Quran terima Sijil Tahfiz Malaysia

OTHMAN Mustapha (kiri) menyampaikan Anugerah Tokoh Hafiz Kebangsaan 2012 kepada Mohamad Muhsin Sheikh Ahmad sambil diperhatikan oleh Tuan Paimuzi Yahya di Bangi, semalam.

BANGI, JUMAAT, 17 Februari, 2012: Seramai 51 penghuffaz al-Quran menjadi kumpulan pertama penerima Sijil Tahfiz Malaysia (STM) yang diperkenalkan Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi memartabatkan golongan tersebut pada kedudukan sewajarnya.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha berkata, sijil itu juga akan membuka peluang luas kepada penghuffaz al-Quran melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

"Sebelum ini, tidak ada sijil rasmi diberikan penghuffaz al-Quran sehingga menyukarkan golongan itu untuk bergerak ke peringkat seterusnya selepas berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran.

"Lantaran itu, pada November tahun lalu kita perkenalkan STM dengan harapan ia akan memberi sinar buat golongan penghuffaz al-Quran," katanya ketika merasmikan majlis Multaqa Huffaz Peringkat Kebangsaan kali kedua di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengarah ILIM, Pauzaiyah Haron; Timbalan Penolong Pengarah Pembangunan Insan Jakim, Razali Shahabudin; Pengarah Darul Quran Jakim, Tuan Paimuzi Yahya dan Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Sheikh Ismail Muhammad.

Pada majlis itu, Pengetua Maahad Tahfiz As-Idiyyah, Mohamad Muhsin Sheikh Ahmad diumumkan Tokoh Hafiz Kebangsaan 2012.

Menurut Othman, pihaknya bercadang untuk membuka peluang kepada pemegang sijil berkenaan melanjutkan pengajian di peringkat ijazah melalui skim kendaliannya iaitu Skim Pembiayaan Hafiz.

"Kami akan menyalurkan apa jua bantuan yang boleh diberikan, selain membuat penyelarasan bersesuaian dari semasa ke semasa untuk memartabatkan golongan ini dan bidang hafaz al-Quran.

"Dengan usaha berterusan, saya percaya huffaz al-Quran akan menjadi sebahagian profesional dan setanding dengan mereka yang berada dalam jurusan lain," katanya.

Seorang penerima STM, Azuwad Adzhar Abd. Malek, 28, berkata, pengiktirafan tersebut telah membuka kembali hajatnya untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

"Masalah pengiktirafan sijil kepada pelajar tahfiz swasta dan persendirian sudah terlalu lama diperkatakan. Alhamdulillah dengan usaha Jakim memperkenalkan STM telah menyelesaikan masalah ini," katanya yang merupakan pelajar sebuah maahad tahfiz di Perak .

Bagi penerima STM berasal dari Kajang, Ain Najihah Mohd. Najib Alpuad, 17, berkata, STM membuktikan kerajaan mengambil berat nasib penghuffaz al-Quran.

"Saya percaya dengan pengiktirafan ini, masa depan kami akan lebih terjamin dan pastinya dapat mengembalikan kepercayaan sesetengah pihak bahawa bidang ini setanding jurusan yang lain.

"STM perlu diteruskan agar hasrat kerajaan mahu melahirkan lebih ramai golongan profesional dalam bidang ini tercapai sekali gus dapat menaiktaraf sistem hafazan dan pengajian al-Quran kepada lebih sistematik dan efisien," jelasnya.

Dalam pada itu, pelajar Maahad Tahfiz Sains dan Teknologi Istana Bandar Jugra, Fina Sakinah Abd. Shukor berkata, dia bersyukur cita-citanya untuk menjadi seorang penghuffaz al-Quran yang diiktiraf menjadi kenyataan hari ini.

"Saya baru menghafaz sebahagian al-Quran pada bulan lima tahun lalu. Apabila permohonan STM dibuka pada November, Alhamdulillah usaha saya menghafaz 30 juzuk berjaya dan diluluskan Darul Quran," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment