My Add

Saturday 25 February 2012

Jentera pilihan raya Wanita BN perlu lebih fokus

SEREMBAN, JUMAAT, 24 Februari, 2012: Ketua Wanita Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengingatkan anggota parti itu supaya sentiasa fokus dan memberi lebih tumpuan kepada pilihan raya umum yang akan diadakan tidak lama lagi.

"Kita sudah ada program pemantapan jentera pilihan raya, tapi kita nak mantapkan lagi. Pada saya yang paling penting semasa kita hendak menghadapi pilihan raya umum ini, ia ibarat pusingan akhir dalam maraton (larian) dan kita perlu fokus. Jadi, amat mustahak jentera dan semangat kita mesti kita kekalkan," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian program pemantapan jentera pilihan raya Wanita BN Negeri Sembilan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga pengerusi penyelaras BN negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Shahrizat yang juga Ketua Wanita UMNO dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, Wanita BN sudah membuat kerja dan dalam tempoh dua tahun ini memang kerja-kerja yang dijalankan oleh Wanita BN amat konsisten sekali iaitu dengan penuh disiplin dan sistematik.

"Jadi, amat penting kesiapsiagaan ini sentiada dikekalkan sebab kita sudah berada dalam pusingan akhir dalam perjuangan peperangan kita. Saya tidak hendak wanita dalam pusingan akhir ini patah semangat dengan tindakan pihak pembangkang.

"Pihak pembangkang dalam keadaan terdesak kini dan akan melakukan apa saja untuk melemahkan kita, tapi wanita tetap teguh menghadapi segala cabaran. Kita orang politik mesti ada daya tahan kerana kita mempercayai perjuangan parti kita," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment