My Add

Saturday 25 February 2012

Sekinchan Ikan Bakar tawar hadiah daftar sebagai pengundi

Oleh AZHARI ZAINOODDIN

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 24 Februari, 2012: Restoran Sekinchan Ikan Bakar cawangan Setiawangsa menjemput orang ramai terutamanya mereka yang belum mendaftar sebagai pengundi untuk memeriahkan Kenduri Jom Daftar Undi yang diadakan di Laman Pengantin restoran itu Ahad ini.

Kenduri itu bertujuan menarik orang ramai yang belum mendaftar sebagai pemilih, segera mendaftar bagi membolehkan mereka menjalankan tanggungjawab menentukan masa depan negara.

Pemilik restoran, Datuk Jamal Md. Yunos berkata, langkah tersebut merupakan tanggungjawab sosial pihaknya kepada masyarakat.

Katanya, mereka yang hadir dan mendaftar sebagai pengundi berpeluang memenangi cabutan bertuah berupa sebuah motosikal Modenas Kriss, barangan elektrik, telefon bimbit dan hamper, selain disajikan dengan makanan tengah hari ala kenduri secara percuma.

"Apa yang dilakukan ini adalah untuk menarik orang ramai khususnya yang belum mendaftar sebagai pengundi agar segera mendaftar sebelum pilihan raya diadakan.

“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini melaporkan seramai 3.7 juta rakyat Malaysia masih belum mendaftar. Jumlah itu sangat besar dan ia mampu untuk mengubah corak dan senario politik negara kita," katanya di sini hari ini.

Kenduri yang akan bermula pukul 11 pagi itu turut dimeriahkan persembahan 20 artis seperti Neelofa, Mawi dan Zahid (Akademi Fantasia).

Tambahnya, selain SPR, beberapa agensi kerajaan lain seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan membuka kaunter.

"Pengunjung bukan hanya boleh mendaftar sebagai pengundi tetapi membuat urusan lain seperti penukaran alamat dan sebagainya," katanya.

Sehubungan itu, Jamal juga berharap agar langkah menarik orang ramai untuk mendaftar sebagai pengundi itu akan turut dilakukan oleh pihak korporat dan swasta lain.

"Masih ada lagi masa untuk mendaftar sebelum pilihan raya diadakan dan kami di Restoran Ikan Bakar Sekinchan menyasarkan 2,000 pengundi baharu didaftarkan sepanjang kenduri itu nanti," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment