My Add

Saturday 11 February 2012

Kami bukan perampas tanah - MRT Corp.

PUTRAJAYA, SABTU, 11 Februari, 2012: MRT Corp. hari ini menjelaskan pihaknya tidak akan meroboh atau mengambil alih mana-mana bangunan bersejarah di Jalan Sultan di ibu negara untuk pembinaan My Rapid Transit (MRT).

Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp., Datuk Azhar Abdul Hamid berkata, ini kerana kesemua projek MRT yang dijangka dimulakan di Jalan Sultan pada 2014 hanya melibatkan kerja-kerja bawah tanah.

Beliau berkata, berikutan daripadanya, segelintir penduduk atau pemilik hartanah di Jalan Sultan perlu dipindahkan dan premis mereka dikosongkan selama enam bulan bagi membolehkan kerja-kerja bawah tanah dijalankan.

"Tempoh ini melibatkan kerja-kerja pemeriksaan awal, pembinaan terowong dan seterusnya pemeriksaan akhir yang bertujuan memastikan tiada bangunan terjejas semasa projek dijalankan.

"Kami bukannya perampas tanah dan kami tidak akan merobohkan mana-mana bangunan bersejarah yang ada, kami sebaliknya telah menyuarakan kepada kerajaan supaya kawasan sekitar Jalan Sultan diiktiraf sebagai kawasan warisan sejarah," katanya selepas menandatangani perjanjian yang melantik MMC Gamuda KVMRT Sdn. Bhd. sebagai rakan pelaksana projek MRT di sini, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan segelintir penduduk yang mahu MRT Corp. mengubah laluan MRT supaya tidak menjejaskan bangunan bersejarah di Jalan Sultan.

Mengulas lanjut, Azhar berkata, MRT Corp. tidak akan mengambil alih hartanah di Jalan Sultan secara sewenang-wenangnya melainkan pembinaan stesen perlu dijalankan.

Beliau berkata, kewujudan MRT akan menawarkan pelbagai manfaat kepada penduduk dan peniaga di Jalan Sultan kerana ia membawa lebih ramai pengunjung ke situ.

"MRT akan membawa kepada lebih banyak peluang perniagaan kerana orang ramai boleh berkunjung ke situ pada siang atau malam tanpa perlu risau mengenai soal tempat meletak kenderaan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment