My Add

Thursday 16 February 2012

Karpal keliru, salah faham isu Hari Kekasih

KOTA BHARU, RABU, 15 Februari, 2012: Pas Kelantan menganggap Pengerusi DAP, Karpal Singh keliru dan salah faham sehingga menyebabkan beliau mempersoalkan pendirian Pas berhubung sambutan Hari Kekasih.

Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, pendirian parti itu mengenai sambutan Hari Kekasih hanya ditujukan kepada orang Islam dan perkara itu yang perlu difahami oleh Karpal.

“Mungkin ada kekeliruan di pihak Karpal sebab bila kita bercakap mengenai Hari Kekasih, kita bercakap dari sudut dan perspektif agama serta ditujukan kepada masyarakat Islam sahaja.

“Boleh jadi dia salah faham sebab dia ingat kita tujukan kepada semua orang. Sebenarnya orang bukan Islam kita tidak melarang mereka menyambutnya kerana itu hak masing-masing,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd. Amar diminta mengulas kenyataan beberapa pihak yang meminta Pas mengkaji balik hubungan mereka dengan pakatan pembangkang disebabkan kenyataan Karpal itu.

Mingguan Malaysia baru-baru ini melaporkan kenyataan Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz yang menyelar tindakan Karpal yang tidak bersetuju dengan pendirian Pas menentang sambutan Hari Kekasih.

Ini berikutan kenyataan Karpal seperti dilaporkan media baru-baru ini yang menggesa Pas menarik balik pendirian membantah sambutan Hari Kekasih semalam kerana ia mempromosikan aktiviti tidak bermoral.

Menurut Karpal, DAP berpendapat pendirian Pas menentang sambutan Hari Kekasih bukan satu langkah yang baik dan tindakan Pas juga bertentangan dengan hak asasi manusia dan prinsip kebebasan.

Tambah Mohd. Amar, Karpal perlu tahu bahawa apa sahaja pandangan mengenai sambutan Hari Kekasih sama ada daripada pemimpin Pas, ulama atau Majlis Fatwa Kebangsaan perlu dilihat khusus kepada orang Islam sahaja dan tidak menghalang agama lain. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment