My Add

Saturday 11 February 2012

Kenderaan bomba perlu dikecualikan tol - CUEPACS

IPOH, SABTU, 11 Februari, 2012: Kesatuan Pekerja Bomba dan Penyelamat Semenanjung Malaysia (KPBPSM) memberi tempoh 14 hari kepada syarikat pengendali Lebuh Raya Utara Selatan, PLUS Expressways Berhad (PLUS) untuk mengecualikan bayaran tol kepada semua kenderaan rasmi Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Jika tiada tindakan diambil, kesatuan tersebut akan menggunakan Lebuh Raya Persekutuan sahaja dan berhenti daripada menggunakan Lebuhraya PLUS jika berlaku kecemasan.

Malah pihak kesatuan juga merancang mahu mengenakan caj tertentu kepada PLUS sekiranya khidmat mereka diperlukan pada musim perayaan.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman berkata, ketetapan itu diputuskan pada mesyuarat Majlis Jawatankuasa Tertinggi CUEPACS dan KPBPSM baru-baru ini.

"Sejak September lalu, PLUS hanya mengecualikan bayaran tol kepada kenderaan JBPM yang bertugas dalam keadaan kecemasan tetapi tetap mengenakan tol bagi kenderaan lain jabatan walaupun ketika tugasan rasmi.

"Saya hairan mengapa PLUS berkira sangat dalam pembayaran tol sedangkan lebuh raya lain tidak mengenakan sebarang tol," katanya kepada pemberita selepas memberikan taklimat mengenai Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) kepada kira-kira 300 pegawai JBPM Perak di sini, semalam.

Turut serta pada sidang akhbar itu, Setiausaha Agung KPBPSM, Mohd. Sayuthi Harun.

Menurut Omar, pihaknya telah memaklumkan perkara itu kepada Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor berhubung tindakan PLUS yang membezakan bayaran tol bagi kes kecemasan dan bukan kecemasan.

Katanya, semua kenderaan jabatan itu yang melakukan tugas rasmi sepatutnya dikecualikan daripada bayaran tol walaupun bukan ketika kes kecemasan.

"Jangan salahkan kita kalau terjadi apa-apa jika kenderaan bomba tidak memasuki PLUS walaupun ketika kecemasan," katanya.

Sementara itu, Mohd. Sayuthi berkata, pihaknya menerima banyak rungutan daripada anggota bawahan yang terpaksa menggunakan wang sendiri untuk membayar tol bagi tugas rasmi. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment