My Add

Monday 13 February 2012

Kerajaan tidak pinggir OKU - MB

ADNAN Yaakob menyampaikan replika cek geran perniagaan kepada Nasron Jamion selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pemulihan OKU di Kuantan, kelmarin.

Oleh MANIRAH ROSEDI

KUANTAN, AHAD, 12 Februari, 2012: Kerajaan tidak meminggirkan orang kurang upaya (OKU) apabila terus menyalurkan pelbagai bantuan kepada mereka bagi memastikan golongan itu menjalani kehidupan seperti biasa.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, mereka sentiasa mendapat perhatian kerajaan dan menerima nasib serta kekurangan yang diterima sebagai takdir yang ditentukan oleh Allah.

"Paling penting, selain mengharapkan bantuan kerajaan, golongan itu turut membuktikan bahawa mereka boleh berdikari untuk mengubah taraf kehidupan masing-masing.

"Kalau ada yang tercicir menerima bantuan dan kita menerima maklumat ini, kita bantu dan ia tugas kerajaan untuk bantu mereka (OKU)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pemulihan OKU (PPOKU) Pahang di Dewan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) di sini, semalam.

Turut berlangsung penyampaian Skim Bantuan Galakan Perniagaan OKU menerusi program Jabatan Tenaga Kerja (JTK) melibatkan 12 OKU dari seluruh Pahang dengan jumlah keseluruhan RM315,749. Hadir sama, Pengerusi PPOKU, Datuk Halim Ibrahim.

Sementara itu, Halim meminta kemudahan infrastruktur bagi golongan OKU dipertingkatkan untuk memberikan keselesaan kepada golongan tersebut.

Beliau yang juga Presiden Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat Kebangsaan Malaysia (Makpem) berkata, antara kemudahan yang perlu dipertingkatkan ialah tandas yang boleh digunakan oleh OKU.

"Selain itu, jika ada yang ingin mengusahakan perniagaan, rujuk pada persatuan dan kita akan salurkan pada saluran tepat dan sesuai.

"Namun kita juga kesal dengan mereka yang menyalahgunakan status sebagai OKU dengan menggunakan status tersebut untuk kepentingan diri sendiri," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment