My Add

Monday 13 February 2012

'Sampai bila kami nak tunggu'

UNIT rumah yang terbakar di flat Sri Pulau Pinang di Cheras, Kuala Lumpur pada November tahun lalu kini didakwa menjadi sarang kaki botol, selain menyebabkan air hujan meleleh ke aras bawah. - UTUSAN/ALI ISKANDAR

Oleh NUR NAZLINA NADZARI

KUALA LUMPUR, AHAD, 12 Februari, 2012: Sudah lebih dua bulan flat Sri Pulau Pinang di Cheras terlibat dalam kebakaran yang mengakibatkan 10 unit rumah di tingkat teratas Blok 4 termasuk bumbung hangus dan menyebabkan penghuninya tinggal sehelai sepinggang.

Kejadian yang berlaku pada malam 30 November tahun lalu itu menyebabkan mangsa terpaksa ditempatkan buat sementara di flat Sri Johor sehingga rumah mereka dibaiki.

Namun begitu, tinjauan Utusan Malaysia ke flat tersebut di sini hari ini mendapati rumah yang terlibat dalam kebakaran itu masih belum dibaiki. Malah di dalam rumah itu terdapat beberapa botol minuman keras yang menandakan ia telah menjadi sarang kaki botol.

Apa yang dikesalkan penduduk adalah kegagalan pihak berwajib membaik pulih rumah tersebut telah menyebabkan mereka yang berada ditingkat bawah merasa tempiasnya apabila syiling rumah bocor dan sering dimasuki air ketika hujan.

Malah, pelbagai masalah lain yang mereka hadapi menyebabkan penduduk menggesa agar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membaiki segera Perumahan Awam (PA) itu.

Seorang penduduk Tan Tim Sing, 50, berkata, penduduk yang menjadi mangsa kebakaran telah ditempatkan di rumah lain tetapi rumah di situ tidak dibaiki sehingga kini.

Katanya, apabila dia bertanya kepada pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di situ, mereka memberitahu bahawa masih menunggu insurans.

"Apabila hujan, air akan masuk ke dalam rumah di tingkat bawah dan apabila cuaca panas pula terasa begitu panas kerana tiada bumbung di bahagian atas.

"Rumah yang ditinggalkan ini juga telah menjadi tempat penagih dadah, kaki botol dan juga remaja menghidu gam," katanya ketika ditemui di flat tersebut.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Tan Lai Kiaw, 51, berkata, sejak kejadian kebakaran itu air hujan sering memasuki rumahnya yang berada di tingkat bawah, menyebabkan mereka hidup dalam keadaan yang tidak selesa.

"Saya berharap agar pihak bertanggungjawab dapat membaiki rumah itu dengan segera supaya masalah kami boleh selesai," ujarnya.

Dalam pada itu, jirannya, Tong Sok Peng, 53, berkata, syiling pada bilik di rumahnya bocor dan dimasuki air setiap kali hujan.

"Apabila mengadu kepada DBKL, mereka kata sedang tunggu insurans lagi. Mereka kata kalau tidak mahu tunggu, maka kami kena baiki sendiri," jelasnya.

No comments:

Post a Comment