My Add

Monday 13 February 2012

Kerajaan timbang beri subsidi harga padi tanpa had luas kawasan

JASIN, AHAD, 12 Februari, 2012: Kerajaan menimbang pemberian subsidi harga padi tanpa had luas kawasan bagi semua petani yang mengusahakan tanaman berkenaan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, selain itu cadangan yang akan dibawa ke Kabinet tidak lama lagi adalah bagi memberi hak sama rata dan adil kepada semua petani tanpa mengira mereka dari kawasan jelapang padi ataupun tidak.

Beliau berkata, ketika ini pemberian subsidi itu dinikmati petani di kawasan jelapang padi sahaja

"Wujud perbezaan bagi kawasan jelapang padi kerana petani di kawasan ini tidak ada had berapa luas sawah yang diusahakan untuk mereka layak terima subsidi RM248.10 bagi setiap tan padi yang dijual.

"Tetapi bagi petani di luar jelapang padi pula, mereka dihadkan kepada sawah seluas 2.4 hektar sahaja jika lebih pun subsidi hanya berdasarkan luas kawasan yang dihadkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja projek pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai, di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Jasin, Datuk Ahmad Hamzah; Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Rambai, Datuk Hasan Rahman; ADUN Merlimau, Roslan Ahmad dan ADUN Rim, Mohd. Yazed Khamis.

Pada lawatan itu, Noh dibawa melawat Kompleks Pertanian (Agrobase), cadangan menaik taraf sawah sedia ada dan baru di Parit Penghulu serta cadangan menaik taraf pembangunan Agrotourism Park (SRAP) di Batu Gajah Pasir.

Mengulas lanjut, Noh berkata, beliau ingin melihat semua petani di dalam atau luar kawasan jelapang padi menerima subsidi RM248.10 bagi setiap tan padi yang dijual itu tanpa ada perbezaan.

Menurutnya, jika subsidi itu dipersetujui Kabinet, pesawah di luar jelapang padi seperti di Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Perlis dan Pahang akan menerima subsidi harga padi tanpa had luas kawasan.

Dalam pada itu, Noh turut mengumumkan kawasan sawah padi di Kampung Parit Penghulu di sini akan melaksanakan projek tanaman padi beras wangi di kawasan baru seluas 40 hektar.

"Jika seluruh pesawah di daerah ini bersetuju untuk beralih kepada tanaman padi beras wangi, kementerian telah menyediakan peruntukan di kawasan seluas 20 hektar," jelas beliau.

Katanya, pemilihan Kampung Parit Penghulu adalah yang kedua selepas Maran yang diiktiraf sebagai kawasan untuk melaksanakan projek tanaman beras wangi.

Beliau berkata, projek tanaman itu diusahakan di kawasan luar jelapang padi dan akan diperluaskan lagi ke beberapa tempat lain di Johor, Negeri Sembilan dan Perlis. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment