My Add

Monday 13 February 2012

Tidak timbul sikap kenegerian dalam kalangan pelajar di Mesir

KAHERAH, AHAD, 12 Februari, 2012: Tidak timbul sikap kenegerian dalam kalangan pelajar-pelajar Malaysia yang sedang menuntut di Mesir, kata Yang Dipertua Majlis Kebajikan Keluarga Kedah (MKKK), Shazril Hanis Salmi (gambar).

Beliau berkata, pelajar-pelajar dari seluruh negeri di Malaysia yang tinggal di asrama negeri masing-masing sentiasa bekerjasama mengadakan pelbagai aktiviti untuk mengenali antara satu sama lain.

Katanya, tidak dinafikan sikap kenegerian pernah wujud sebelum ini tetapi sejak dua tiga tahun kebelakangan ini, keadaan itu tidak timbul lagi.

''Kami sentiasa bekerjasama antara satu sama lain bagi meningkatkan silaturahim dalam kalangan pelajar-pelajar Malaysia yang datang dari seluruh negara,'' katanya kepada Utusan Malaysia di Rumah Kedah di sini baru-baru ini.

Dianggarkan terdapat 11,000 pelajar Malaysia sedang menuntut dalam pelbagai bidang pengajian di Mesir.

Beliau turut menarik perhatian mengenai Majlis Silaturrahim Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) baru-baru ini yang melibatkan sama pelajar-pelajar dari seluruh negara walaupun ia diadakan di Rumah Kedah.

Katanya, pada majlis itu wakil dari negeri-negeri turut hadir mendengar ucapan Yang Dipertua Yadim, Datuk Aziz Jamaludin Mhd. Tahir serta beramah mesra dengan delegasi yayasan itu.

Bagi memeriahkan majlis itu, jamuan bubur lambuk Kampung Baru yang dimasak khusus oleh ahli jawatankuasa Masjid Kampung Baru, Mohalim Isman. Pelajar-pelajar pula menyediakan nasi lauk daging kawah.

Menurut Shazril, bagi pihak anak-anak Kedah, aktiviti yang diadakan pada musim cuti termasuklah hari keluarga, aktiviti perniagaan, futsal Piala MB. aktiviti kembara dan sebagainya.

''Bagaimanapun aktiviti ke Sinai dihentikan seketika disebabkan masalah keselamatan,'' kata pelajar Tahun 3 Kuliah Usuluddin, Jabatan Hadis, Universiti Al-Azhar itu.

Mengenai keselamatan, beliau berkata, sebuah jawatankuasa juga ditubuhkan bagi memastikan keselamatan pelajar-pelajar selepas peristiwa rusuhan di Dataran Tahrir yang membawa kejatuhan Hosni Mubarak.

Setiap pelajar diingatkan supaya lebih berhati-hati ketika keluar selepas menghadiri kuliah terutama di sekitar kawasan bandar.

''Kedutaan Malaysia juga memberi perhatian sepenuhnya terhadap isu-isu keselamatan ini dan sentiasa mengedarkan pekeliling di kalangan pelajar-pelajar melalui persatuan,'' katanya.

Sementara itu, Aziz Jamaludin meminta pelajar-pelajar supaya menjaga keselamatan mereka di negara itu serta memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran.

Katanya, walaupun keadaan agak terkawal dan ibu bapa di Malaysia tidak perlu bimbang tetapi para pelajar perlu sentiasa berada dalam keadaan siap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Menurut beliau, inilah antara cabaran yang perlu dihadapi apabila menimba ilmu di rantau orang.

Beliau yang juga lulusan Al-Azhar pernah menghadapi pengalaman agak getir bersama rakan-rakannya ketika belajar di negara itu.

Katanya, antara yang masih dalam ingatannya ialah ketika Presiden Anwar Sadat mati ditembak. UTUSAN

No comments:

Post a Comment