KOTA BHARU, KHAMIS, 16 Februari, 2012: Hanya lima peratus atau 241 daripada 4,834 peserta program Ladang Rakyat yang diperkenalkan oleh Kerajaan Pas Kelantan terkeluar daripada paras kemiskinan tegar.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat Negeri Kelantan, Dr. Nazmi Ghazali Azmi bagaimanapun berkata, berjaya atau tidak program tersebut untuk membasmi kemiskinan tegar di negeri ini adalah bergantung kepada interpretasi masing-masing berdasarkan statistik tersebut.
Beliau berkata, pihaknya memajukan tanah seluas 30,800 hektar di kawasan Hulu Kelantan dengan kerjasama 11 syarikat untuk membantu golongan itu dengan membayar dividen RM200 setiap bulan.
“Jumlah peserta tidak tetap pada setiap masa, ada turun naiknya kerana kita sentiasa memantau sekiranya keadaan mereka sudah bertambah baik, peserta ini akan dikeluarkan daripada senarai.
“Sejak 2006 ada 18 peringkat pembahagian dividen yang sehingga kini sebanyak RM52,365,500 telah diagihkan kepada peserta,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Perdana Peserta Ladang Rakyat di Dataran Stadium Muhammad Ke-IV di sini hari ini.
Sebelum ini beberapa pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan, Orang Muda Berpadu Anti Korupsi Kelantan (OMBAK) mendesak kerajaan negeri mendedahkan secara terperinci mengenai program tersebut.
Nazmi berkata, pihaknya masih belum menerima arahan supaya mendedahkan maklumat mengenai kawasan, peserta dan syarikat pemaju yang terlibat.
“Namun saya rasa ia bukan rahsia kerana semuanya ada perjanjian dan mungkin selepas ini saya akan masukkan ke dalam laman web perbadanan,” katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment