My Add

Friday 17 February 2012

Martabatkan seni budaya - Noorainee

KUANTAN, KHAMIS, 16 Februari, 2012: Usaha memartabatkan seni budaya dan warisan negara harus diteruskan serta dipergiatkan supaya ia dapat diwarisi oleh generasi akan datang.

Isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman berkata, beliau yakin industri budaya itu mempunyai potensi cerah serta nilai komersialnya tersendiri jika diusahakan dengan bersungguh-sungguh.

"Ia juga sebagai usaha bagi memastikan agar warisan budaya dan adat tradisi terpelihara serta dipertahankan sepanjang zaman.

"Kita tidak mahu ia terjadi seperti peribahasa 'tidak lekang dek panas, tidak lapuk dek hujan' atau tidak hilang ditelan zaman terutamanya di kalangan generasi muda," kata beliau pada Majlis Ramah Mesra di Kompleks Budaya Cherating di sini hari ini.

Beliau turut menyampaikan sumbangan kepada 50 penerima anak yatim dan warga emas serta penyampaian hadiah cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kepada 19 murid dari tiga sekolah di sini.

Menurut Noorainee, seni budaya kini merupakan salah satu daya tarikan utama kepada pelancong asing untuk datang ke negara ini.

"Kita seharusnya bersyukur kerana Malaysia merupakan sebuah negara yang kaya dengan pelbagai warisan seninya.

"Pelbagai hasil kraftangan misalnya di Pahang sendiri yang terkenal dengan hasil tenunan dan membuktikan daya pemikiran kreatif tinggi di kalangan masyarakat kita," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau gembira melihat ramai masyarakat terlibat dalam usaha membangunkan hasil kraftangan terutama golongan wanita.

"Usaha seperti ini boleh menjana pendapatan lumayan kepada pengusaha, malah dalam masa sama dapat menyumbang kepada pendapatan negara," jelasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment