My Add

Sunday 26 February 2012

Laporan perbaiki sistem pendidikan sedang disediakan

BARAM, SABTU, 25 Februari, 2012: Kementerian Pelajaran akan menyediakan satu laporan lengkap berhubung inisiatif bagi meningkatkan kompetensi guru agar sejajar dengan keperluan negara untuk melahirkan modal insan berkemahiran tinggi, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, laporan berkenaan dijangka dapat disiapkan sebelum akhir tahun ini akan mengambil kira maklum balas daripada semua pihak yang berkepentingan dalam usaha mewujudkan satu sistem pendidikan berkualiti tinggi di negara ini.

Bercakap dalam satu sidang akhbar selepas Majlis Perjumpaan Khas Bersama-sama Warga Pendidik dan Masyarakat di Sekolah Menengah Kebangsaan Tinjar di sini, Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata, beliau masih belum berpuas hati dengan tahap pencapaian yang diperoleh menerusi sistem pendidikan sedia ada.

"Kalau kita melihat daripada segi tahap kompetensi (guru-guru Malaysia) dalam penanda aras antarabangsa, masih ada perbezaan ketara (berbanding) dengan beberapa negara lain,” katanya.

Beliau berkata, dalam usaha penyiapan laporan ini, sembilan kumpulan kerja telah diwujudkan untuk mengkaji bidang-bidang pendidikan yang akan diberikan penekanan.

Beberapa sesi dialog pendidikan negara akan diadakan dan pihak yang berkepentingan dipelawa untuk memberikan pandangan mereka, katanya. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment