My Add

Wednesday 8 February 2012

Lebih 140,000 layak mengundi belum berdaftar di Pahang

KUANTAN, RABU, 8 Februari, 2012: Seramai 148,196 orang yang layak mengundi dikesan belum mendaftar sebagai pemilih di Pahang.

Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Pahang, Othman Noh berkata, bilangan itu mewakili 17 peratus jumlah pengundi yang belum berdaftar di seluruh negara.

"Bagaimanapun pendaftaran sebagai pemilih di Pahang menunjukkan pertambahan seramai 36,248 orang daripada 662,225 pada tahun 2010 kepada 698,473 orang sehingga suku tahun ketiga pada bulan November lepas.

"Kami akan menjalankan pelbagai program selain usaha yang dibuat parti-parti politik untuk mendaftarkan pemilih baru," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, lebih 18,000 nama pemilih telah dibersihkan daripada senarai daftar pemilih atas sebab kematian dan sebagainya.

Sementara itu, SPR Pahang telah bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

"Seramai 12,343 orang telah dikenal pasti untuk dilantik sebagai petugas pada pilihan raya umum akan datang.

"Setakat ini semua persediaan besar telah kami sempurnakan dengan baik cuma perkara-perkara kecil yang masih dalam tindakan.

Mengenai latihan untuk petugas, Othman berkata, ia telah dilaksanakan di empat kawasan Parlimen manakala selebihnya dijangka dapat disiapkan April ini.

Beliau berkata, terdapat 515 pusat mengundi di Pahang dengan 1,528 saluran.

Jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri yang dipertandingkan di Pahang ialah 42 kerusi, manakala Parlimen 14 kerusi. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment