My Add

Friday 17 February 2012

Pusat judi siber tawar hadiah kereta

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 16 Februari, 2012: Dalam usaha menarik pelanggan berikutan persaingan yang semakin sengit, ada pengusaha pusat siber yang menjalankan aktiviti perjudian di Ampang dikesan sanggup menawarkan hadiah kereta menerusi cabutan bertuah.

Ini didedahkan oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) hasil pemeriksaan dan tindakan penguatkuasaan ke atas pusat siber tanpa lesen yang menjalankan aktiviti perjudian baru-baru ini.

Pegawai Perhubungan Awam MPAJ, Norhayati Ahmad berkata, orang ramai diminta membantu dengan melaporkan kepada MPAJ jika terdapat pusat siber yang menjalankan aktiviti yang meragukan.

Beliau berkata, pusat siber tanpa lesen juga kini didapati cuba menyembunyikan aktiviti mereka dengan cara menampal iklan tidak berkaitan di hadapan premis mereka.

Terbaru, katanya, sebuah premis di Pandan Indah yang mengiklankan aktiviti urut kaki didapati menjalankan perniagaan pusat siber semasa diserbu oleh MPAJ.

"Premis itu juga mengubah suai pintu masuk dengan membuat pintu di bahagian tepi premis bagi menunjukkan seolah-olah ia tidak beroperasi dan dipantau dengan kamera litar tertutup," katanya.

Dalam serbuan ke atas pusat siber kedua di Taman Pandan Cahaya, katanya, premis itu cuba mengaburi pandangan pihak berkuasa dengan memaparkan iklan membekal peralatan bilik mandi.

Terdahulu, katanya, operasi yang diketuai oleh Penolong Pegawai Penguat Kuasa, Rosli Jaafar memeriksa sebuah kafe siber yang berselindung di sebalik sebuah restoran yang juga terletak di Taman Pandan Cahaya dan mendapati ia beroperasi tanpa lesen. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment