My Add

Monday 13 February 2012

MDPT zalimi kami - Peniaga

SEBAHAGIAN daripada 400 peniaga Melayu membantah tindakan MDPT menutup sementara kawasan perniagaan mereka di pasar sehari Naka, Padang Terap, semalam. - UTUSAN/HALIM KHALID

Oleh JAMLIAH ABDULLAH

PADANG TERAP, AHAD, 12 Februari, 2012: Kira-kira 400 peniaga pasar sehari Naka di sini mendakwa penutupan tapak niaga di situ oleh Majlis Daerah Padang Terap (MDPT) sejak dua minggu lalu menjejaskan pendapatan mereka.

Kebanyakan peniaga yang terdiri daripada mereka berpendapatan rendah turut mempersoalkan sikap MDPT dikatakan double standard apabila tidak mengeluarkan arahan sama untuk peniaga di sekitar kawasan tersebut.

Rata-rata peniaga yang ditemui mendakwa mereka kerugian antara RM300 dan RM500 sehari selain menanggung kos bahan jualan yang rosak kerana tidak dapat berniaga.

Menurut wakil peniaga, Matzuki Shamsul, 42, yang juga merupakan peniaga burger di situ, penutupan tersebut walaupun bersifat sementara, menjejaskan periuk nasi mereka.

"Kebanyakan peniaga mempunyai keluarga jika tidak berniaga sehari hilanglah pendapatan hari itu. Jika tidak bagi berniaga carilah tapak lain agar kami boleh berniaga.

"Ini tidak, cuma bagi notis dan tutup tapak. Ini tidak adil dan zalim kerana peniaga lain di kawasan sekitar boleh berniaga termasuk pasar malam yang terletak bersebelahan," katanya ketika ditemui sewaktu mereka mengadakan perhimpunan bantahan di tapak pasar sehari itu hari ini.

Seorang lain peniaga, Noraini Ku Ahmad, 51, mendakwa dia kerugian lebih RM3,000 setelah bahan makanan seperti sayur-sayurannya rosak kerana tidak dapat berniaga di situ sejak dua minggu lalu.

"Sudah 40 tahun makcik berniaga di situ tidak pernah pula jadi perkara seperti ini. Kami bukan persoalkan langkah MDPT menutup tetapi bertimbang rasalah dengan kami peniaga kecil ini.

"Janganlah zalim sangat ini sumber pendapatan untuk keluarga," katanya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas),Mohd. Ridzuan Abdullah ketika ditemui berkata, tindakan MDPT itu dilihat menindas peniaga tersebut yang kebanyakannya terdiri daripada bumiputera.

"Inikah yang dilaung-laungkan oleh kerajaan Pas yang ingin mengadakan negara berkebajikan. Sedangkan periuk nasi orang Melayu sendiri diganggu," katanya.

Tambah Mohd. Ridzuan, susulan daripada bantahan tersebut para peniaga terbabit juga membuat laporan polis di Balai Polis Naka bagi mengemukakan bantahan dan menuntut gantirugi setimpal.

MDPT baru-baru ini mengeluarkan kenyataan bahawa penutupan tapak pasar sehari Naka yang beroperasi setiap Ahad itu dilaksanakan pada 5 Februari dan hari ini bagi kerja-kerja pembersihan oleh penyelenggara pasar, Koperasi Serbaguna Pekan Naka.

Pegawai Kesihatan Persekitaran MDPT, Mohamad Nzari Ahmad berkata, MDPT akan terus menutup operasi di pekan sehari ini jika tahap kebersihan di situ masih kurang memuaskan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment