My Add

Monday 13 February 2012

SPNB akan bina 48 rumah untuk rakyat

BUKIT MERTAJAM, AHAD, 12 Februari, 2012: Sebanyak 48 rumah akan dibina oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di Permatang Manggis di sini tidak lama lagi.

Kerja pembinaan rumah tiga bilik itu dijangka dilaksanakan dalam tempoh sebulan lagi apabila tender untuk menambak tanah di kawasan berkenaan ditutup baru-baru ini.

Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, projek itu adalah sebahagian daripada 64 projek yang diluluskan kerajaan Pusat untuk penempatan semula mangsa banjir di kampung tersebut.

Beliau berkata, setiap rumah yang akan dibina itu berharga RM40,000 hingga RM70,000.

“Projek yang dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN) ini membuktikan kami sentiasa membantu rakyat dan bukannya menabur janji kosong seperti yang dibuat oleh pembangkang di negeri ini,” katanya selepas merasmikan Karnival Warisan Melayu di Kampung Kuala Tasek, dekat sini hari ini.

Pada September tahun lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika melawat kawasan itu berkata, kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan tambahan RM1.5 juta untuk pembinaan 64 rumah pasang siap (IBS) bagi penempatan mangsa banjir di Kampung Manggis.

Projek pembinaan rumah berkenaan adalah hasil kerjasama SPNB dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dengan kos keseluruhan projek bernilai RM8.3 juta.

Musa yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, kerajaan negeri pimpinan DAP yang mendakwa sebagai sebuah kerajaan berkebajikan sepatutnya membina lebih banyak rumah mampu milik untuk rakyat di negeri ini.

“Saya nak tanya kerajaan negeri berapa banyak rumah mampu milik dibina untuk rakyat kerana BN membina rumah untuk semua rakyat,” katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment