My Add

Tuesday 14 February 2012

MRT, peniaga cari penyelesaian

Oleh NUR NAZLINA NADZARI

KUALA LUMPUR, ISNIN, 13 Februari, 2012:Perbincangan antara penduduk dan pemaju projek My Rapid Transit (MRT) akan diadakan minggu depan bagi mencari penyelesaian mengenai isu Pasar Besar Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) yang terlibat dalam laluan projek tersebut.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail berkata, sehingga kini, penduduk sudah bersetuju dengan projek terbabit tetapi ia masih mendapat bantahan daripada sebahagian peniaga pasar.

Sehubungan itu, beliau meminta golongan peniaga terbabit supaya turut memikirkan kesan daripada pembangunan itu khususnya golongan berpendapatan rendah yang boleh memperoleh faedah daripada projek MRT tersebut.

"Peniaga harus bertimbang rasa. Mereka sudah berniaga dia situ sejak 35 tahun dengan bayaran sebulan RM10 sahaja. Jadi, tidak patutlah kalau tidak membenarkan apa-apa dibuat di situ," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Upacara Menaikkan Jalur Gemilang @ Dataran Merdeka di Dataran Merdeka di sini hari ini.

Ahmad Fuad berkata, jika projek MRT itu dibangunkan di tapak tersebut, pihaknya pasti akan mencari lokasi baru bagi menempatkan peniaga pasar berkenaan.

Sementara itu, mengenai upacara menaikkan Jalur Gemilang di Dataran Merdeka, beliau berkata, upacara itu akan diadakan pada setiap hari Isnin bermula hari ini.

Menurutnya, upacara yang berlangsung selama 10 minit ini akan melibatkan 30 pegawai dan anggota penguat kuasa, tujuh kuda dan pasukan pancaragam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Upacara ini diharapkan dapat menjadi tarikan baru kepada pelancong memandangkan Dataran Merdeka merupakan salah satu tempat tarikan pelancong dari dalam dan luar negara," jelasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment