My Add

Tuesday 14 February 2012

Permohonan PTPTN batal saman peminjam ditolak

KUALA LUMPUR, ISNIN, 13 Februari, 2012: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menolak permohonan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk membatalkan saman oleh seorang peminjam tabung itu berhubung dakwaan fitnah dan penangkapan secara salah kerana kononnya gagal menyelesaikan pinjaman pengajiannya.

Hakim Unaizah Mohd. memutuskan bahawa perbicaraan perlu dijalankan setelah berpendapat plaintif, Mandeep Singh, 28, yang kini bekerja sebagai pegawai bank mempunyai kuasa tindakan ke atas PTPTN yang dinamakan sebagai defendan.

Sehubungan itu, beliau menetapkan 5 Mac ini sebutan kes tersebut bagi urusan penyerahan dokumen sebelum perbicaraan penuh diadakan pada 9 dan 12 April ini.

Peguam Abdul Malik Hakim yang mewakili Mandeep menyatakan, pihaknya akan memanggil dua saksi sementara peguam, Farhan Abdullah yang mewakili PTPTN pula memaklumkan, pihaknya bersedia dengan tiga saksi.

Pada 20 September tahun lalu, Mandeep memfailkan saman terhadap PTPTN di Kaunter Pendaftaran Sivil Mahkamah Sesyen kerana mendakwa agensi itu gagal mengeluarkan namanya daripada senarai hitam di Jabatan Imigresen sedangkan dia telah membayar hutang pinjamannya itu.

Dia mendakwa telah ditahan oleh pegawai Imigresen di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang pada 6 Julai tahun lalu ketika hendak berlepas ke Guangzhao, China untuk bercuti.

Katanya, dia dimaklumkan oleh para pegawai terbabit bahawa namanya masih disenarai hitam dalam pangkalan data Imigresen.

Insiden itu, menurutnya, satu penghinaan terhadapnya di khalayak ramai dan mencemarkan reputasinya.

Dalam pernyataan tuntutan itu, Mandeep menuntut ganti rugi am, punitif, teladan dan RM19,000 bagi kemudaratan khas untuk tiket penerbangan dan tempahan hotel, faedah, kos, serta bayaran lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment