My Add

Thursday 9 February 2012

Naik taraf demi keselesaan

KOLAM Air Panas Selayang sentiasa menjadi tumpuan orang ramai terutama pada hari cuti. – UTUSAN/Irwan Majid

Oleh ROSLAH OTHMAN

SELAYANG, KHAMIS 09 Februari, 2012: Pengunjung-pengunjung Kolam Air Panas Selayang di sini meminta pihak bertanggungjawab, khususnya pemaju projek kondominium Selayang Springs agar dapat melaksanakan segera kerja-kerja menaik taraf kawasan itu demi keselesaan orang ramai.

Ini bagi memastikan imej kawasan tumpuan ramai itu tidak terus terjejas kerana sejak akhir-akhir ini tapak rekreasi itu didapati semakin diabaikan terutama dalam soal kebersihan dan keselamatan.

Selain kawasan persekitarannya telah dinaiki semak-samun dan sampah-sarap berlonggokkan, keadaan jalan berlopak di kawasan tempat parkir juga berada dalam keadaan menyedihkan.

Tinjauan Utusan Malaysia ke situ mendapati dakwaan itu ada benarnya apabila keadaan persekitaran langsung tidak menggambarkan ia merupakan salah sebuah tempat pelancongan di Selayang. Ditambah pula dengan keadaan gerai-gerai yang didirikan berhampiran tidak diurus dengan baik.

Difahamkan, kawasan rekreasi itu menerima kunjungan antara 100 hingga 150 buah kenderaan pada hari biasa dan meningkat kira-kira 250 buah kenderaan pada hujung minggu dan cuti umum.

Seorang pengunjung T. Vishala, 20, berkata sebagai kawasan pelancongan dan rekreasi kepada warga tempatan dan luar kerja-kerja menaik taraf kawasan itu wajar disegerakan.

Katanya, sekiranya kawasan itu diberi nafas baru ia sudah pasti menyerlahkan kawasan itu sebagai produk pelancongan yang popular.

“Pihak bertanggungjawab perlu memberi perhatian serius terutama terhadap isu keselamatan dan keselesaan pengunjung,” katanya ditemui.

Bagi warga emas, Tan Hock Kian, 50, sejak kecil lagi dia sering mengunjungi kolam air panas di situ untuk tujuan riadah.

Katanya, seluruh kawasan rekreasi itu sebenarnya masih memerlukan beberapa pembangunan bagi melengkapkan kemudahan asas sedia ada.

“Jika benar pemaju ingin menaik taraf kawasan ini ia cukup baik bagi memberi keselesaan kepada pengunjung. Bagaimanapun keindahan semula jadinya harus dikekalkan,” katanya yang berasal dari Jinjang, Kuala Lumpur. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment