My Add

Thursday 9 February 2012

SAR Benteng Tengah Sijangkang daif

KUALA LANGAT, KHAMIS, 09 Februari, 2012: Sekolah Agama Rakyat (SAR) Benteng Tengah, Sijangkang di sini memerlukan dana daripada orang ramai bagi menaik taraf dan memperbaiki keadaan bangunan sekolah tersebut untuk memastikan 300 pelajarnya dapat mengikuti pengajian dengan lebih selesa.

Tinjauan Utusan Malaysia baru-baru ini mendapati kebanyakan kelas di sekolah tersebut kelihatan begitu usang di samping banyak peralatan dan kemudahan pembelajaran yang rosak.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah tersebut, Abdul Razak Khasbullah berkata, pihaknya masih menunggu dana dan pengesahan status tanah bagi menaik taraf bangunan dan kemudahan di sekolah berkenaan.

"Sebelum ini kami berusaha mengumpul dana daripada orang ramai untuk memperbaiki bangunan sekolah yang kini sudah dimamah usia.

"Justeru, pihak PIBG kini berusaha mencari alternatif bagi meningkatkan kemudahan di sekolah tersebut," katanya.

Abdul Razak berkata, pihaknya tidak mahu masyarakat setempat menganggap pengurusan sekolah dan PIBG tidak memberi perhatian terhadap keadaan sekolah agama tersebut.

Sehubungan itu pihak sekolah, jelas beliau, amat berbesar hati sekiranya ada pihak yang sanggup tampil untuk menyalurkan sumbangan bagi membaik pulih bangunan sekolah berkenaan selain membeli barangan keperluan untuk para pelajar.

Seorang penduduk, Hamidah Hussein berkata, keperluan dan prasarana pendidikan di sekolah tersebut perlu segera dinaik taraf seiring dengan peredaran zaman.

No comments:

Post a Comment