My Add

Tuesday 7 February 2012

Negara maju: Kaum Cina jangan lepas peluang

KUALA LANGAT, SELASA, 07 Februari, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru rakyat negara ini terutama masyarakat berketurunan Cina agar dapat bersama kerajaan dalam merealisasikan proses transformasi untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju sepenuhnya menjelang tahun 2020.

Perdana Menteri meminta mereka agar jangan melepaskan peluang untuk menjadi generasi yang mencapai matlamat tersebut.

Sambil menyifatkan cita-cita tersebut bukan satu mimpi di siang hari beliau berkata, ia adalah sesuatu yang boleh dicapai sekiranya seluruh rakyat memberikan sokongan dan kepercayaan kepada program transformasi itu.

"Saya percaya kita boleh mencapai apa yang dicita-citakan itu sekiranya setiap orang daripada kita menyokong dan percaya dengan proses transformasi.

"Oleh itu, saya menyeru seluruh rakyat untuk bersama-sama di belakang kami (kerajaan) bagi memastikan impian itu menjadi satu realiti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di depan lebih 50,000 masyarakat berketurunan Cina pada Karnival Chap Goh Mei 2012 di Fo Guang Shan (FGS) Dong Zen Temple, Jenjarum di sini, malam tadi.

Hadir sama isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Noh Omar; Pengerusi MCA Selangor, Datuk Donald Lim Siang Chai yang juga pengerusi penganjur karnival tersebut.

Turut hadir Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Presiden Gerakan, Tan Sri Koh Tsu Koon.

Dalam pada itu Najib berkata, masyarakat berbilang kaum dan agama di negara amat bertuah kerana dalam tempoh tiga hari berturut-turut sejak semalam dapat merayakan kepercayaan masing-masing iaitu Maulidur Rasul semalam, Chap Goh Mei pada hari ini dan esok Thaipusam bagi masyarakat beragama Hindu.

"Tidak ada negara di dunia yang sambut secara berturut-turut melainkan di negara kita. Ini adalah suatu yang unik dalam negara ini," katanya.

Justeru, Najib mahu masyarakat negara ini mencari nilai kebersamaan seperti amalan kesederhanaan meskipun mempunyai akidah dan kepercayaan yang berlainan.

Perdana Menteri berkata, beliau difahamkan dalam kepercayaan Buddha juga mempunyai amalan yang menyamai konsep kesederhanaan selain menekankan aspek keharmonian.

"Inilah yang boleh kita jadikan ikatan dalam menjadikan negara ini aman, harmoni dan semakin kuat dari segi perpaduan dan integrasi nasional.

"Saya dapati apabila saya meluahkan konsep kesederhanaan yang dalam Islam disebut wasatiyyah didapati dalam agama lain juga ada membawa konsep yang sama walaupun kita ada perbezaan akidah," katanya.

Beliau berkata, konsep kesederhanaan atau moderate membawa sikap hormat-menghormati antara satu sama lain.

"Kesederhanaan membawa pengertian kita tidak amalkan kefahaman ekstrem, fanatik dan militan atau perangi antara satu sama lain," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment