My Add

Tuesday 7 February 2012

Jaringan keselamatan sosial: Najib

Najib Tun Razak hadir pada majlis sambutan Chap Goh Meh anjuran lapan Persatuan Cina di Dewan Persatuan Hokkien Klang, Selangor, semalam. - BERNAMA

Oleh ABDUL YAZID ALIAS 
KLANG, SELASA, 07 Februari, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia melaksanakan dasar jaringan keselamatan sosial bagi membela masyarakat kurang berkemampuan dan orang kurang upaya (OKU) menerusi pelaksanaan bantuan serta kemudahan yang disediakan kepada golongan itu.

Sehubungan itu Perdana Menteri menegaskan, kerajaan tidak mengamalkan dasar negara kebajikan atau welfare state memandangkan banyak negara yang melaksanakan dasar sedemikian kini terpaksa berhadapan dengan masalah ekonomi yang serius.

''Dasar jaringan keselamatan sosial dijalankan menerusi kerjasama pihak swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta orang perseorangan itu adalah bagi memastikan golongan berkenaan tidak terpinggir daripada menikmati hasil kekayaan negara,'' katanya.

Beliau demikian demikian ketika berucap pada majlis sambutan Chap Goh Meh bersama kira-kira 1,500 masyarakat pelbagai kaum terdiri daripada OKU, anak-anak yatim dan warga emas di Dewan Hokkien Klang, di sini, semalam..

Pada majlis tersebut, Najib yang dikenali di kalangan masyarakat Cina sebagai 'Ah Jib Gor' turut menyampaikan sumbangan angpau sebanyak RM100 kepada setiap golongan yang kurang berkemampuan.

Hadir sama Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Noh Omar dan Pengerusi MCA Selangor, Datuk Donald Lim Siang Chai.

Najib berkata, melalui dasar jaringan keselamatan sosial, kerajaan dapat mewujudkan sebuah masyarakat yang lebih adil, saksama dan seimbang dari segi berkongsi kekayaan negara.

Perdana Menteri berkata, dasar kerajaan yang menekankan kebajikan OKU, ibu tunggal, anak-anak yatim dan golongan tidak berkemampuan jelas dilihat melalui Program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (KAR1SMA) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Beliau berkata, menerusi Karisma, kerajaan memperuntukan RM1.4 bilion untuk membela kebajikan golongan berkenaan selain peruntukan RM2.6 bilion bagi program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi seluruh rakyat tidak mengira kaum yang mempunyai pendapatan isi rumah kasar kurang daripada RM3,000 sebulan.

''Kerajaan turut menyalurkan bantuan persekolahan sebanyak RM100 kepada setiap murid sekolah rendah dan menengah. Sekarang kerajaan sedang menjalankan pemberian bantuan BR1M," kata beliau.

Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor berkata, kerajaan juga mengalakkan syarikat-syarikat korporat dan GLC melaksanakan dasar jaringan keselamatan sosial melalui program tanggungjawab sosial (CSR) masing-masing.

Beliau berkata, usaha membela kebajikan golongan tidak berkemampuan juga dilaksanakan menerusi program-program melibatkan kerjasama sektor kerajaan dan swasta sebagaimana di Selangor, sebanyak 50 badan kebajikan dan amal menerima bantuan masing-masing sebanyak RM10,000 untuk tujuan itu.

Bagi memantapkan taraf OKU di negara ini, Perdana Menteri turut menyeru syarikat-syarikat swasta dan orang perseorangan agar menyediakan lebih banyak peluang kepada golongan itu termasuk pekerjaan dan sebagainya.

Beliau memberikan contoh bagaimana kerajaan memberikan penghargaan kepada seorang pelajar OKU melalui Anugerah Perdana Sambutan Maulidur Rasul semalam kerana kejayaannya memperoleh keputusan cemerlang 9A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun lalu.

"Ini adalah contoh yang boleh dibanggakan apabila golongan OKU diberikan peluang yang sewajarnya," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment