My Add

Monday 6 February 2012

Pengerusi SPR ketuai penerima anugerah khas Maulidur Rasul

SULTAN Sharafuddin Idris Shah menyampaikan sijil Anugerah Umar Abdul Aziz kepada Abdul Aziz Mohd. Yusof pada sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Selangor di Shah Alam, semalam.

SHAH ALAM, AHAD, 06 FebRUARI, 2012: Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof mendahului senarai penerima anugerah khas sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri yang diadakan di Stadium Malawati di sini, semalam.

Abdul Aziz, 62, menerima Anugerah Umar Abdul Aziz daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai pengiktirafan terhadap beliau yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan, peningkatan kualiti serta perubahan pengurusan jabatan kerajaan di peringkat negeri dan negara.

Selain itu, anugerah tersebut diberikan atas jasa beliau yang telah banyak memberi manfaat kepada kesejahteraan dan kemakmuran rakyat sekali gus meningkatkan martabat Islam sebagai panduan pengurusan kehidupan ummah.

Sebelum ini, Abdul Aziz pernah berkhidmat di Selangor sebagai Pegawai Kewangan negeri selama enam tahun bermula 1995 sehingga 2000 dan kemudiannya menjawat jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor bagi tempoh tiga tahun mulai 2001.

Beliau yang berasal dari Sabak Bernam, Selangor bersara daripada perkhidmatan awam pada 2008 dengan jawatan terakhir sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri sebelum dilantik sebagai Pengerusi SPR pada 2009 sehingga kini.

Sementara itu, Abdul Aziz ketika ditemui pemberita selepas majlis sambutan itu menyifatkan anugerah yang diterimanya sebagai satu pengiktirafan atas usaha yang dilakukan sebagai pegawai kerajaan sehinggalah pada hari ini.

"Saya ucap terima kasih kepada kerajaan negeri kerana memilih saya sebagai penerima anugerah Umar Abdul Aziz. Dalam sejarah, Umar Abdul Aziz merupakan seorang muslim yang wajar dicontohi.

"Umar Abdul Aziz bukan hanya seorang Khalifah pada zaman Umaiyyah, tetapi suka kepada kemajuan sains. Saya anggap ini satu pengiktirafan kepada kerja saya sekarang sebagai Pengerusi SPR.

"Pengiktirafan ini barang kali turut dilihat menerusi sumbangan saya dalam kerja-kerja sukarela. Saya juga Pengerusi Yayasan Al-Ijabah iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sukarela yang membantu anak-anak yatim, miskin dan pesakit HIV," ujarnya.

Selain Abdul Aziz, bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Najib Abdul Aziz turut menerima Anugerah Khalid Al-Walid atas jasa yang telah disumbangkannya dalam memastikan keamanan dan keselamatan awam di negara ini.

Dua lagi individu turut menerima anugerah khas antaranya ialah Ahli Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohd. Mokhtar Shafii yang menerima Anugerah Imam Al-Ghazali manakala Anugerah Saidatina Khadijah diterima oleh Pensyarah serta Penyelidik Jabatan Sains Makanan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Azizah Osman.

Turut menerima anugerah khas ialah pelajar cemerlang aliran agama dari Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 7, di sini, Nurfarah Anis Zainal Abidin yang menerima Anugerah Saidina Ali. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment