My Add

Sunday 19 February 2012

Pembaharuan luar bandar tidak boleh terhenti

KAMPUNG GAJAH, SABTU, 18 Februari, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pembaharuan untuk kawasan luar bandar di negara ini tidak boleh terhenti setakat apa yang diusahakan oleh pemimpin sebelum ini.

Perdana Menteri berkata, selain memberi tumpuan kepada kemudahan asas untuk penduduk luar bandar, idea dan sumbangan bernas bagi pembaharuan di kawasan berkenaan turut diperlukan bagi memastikan kejayaan usaha transformasi kerajaan.

Katanya, waris kepimpinan negara perlu melengkapkan agenda pembangunan luar bandar dan tidak boleh menganggap apa yang diwarisi berhenti setakat apa yang ada pada hari ini.

"Kita teruskan dan memantapkan untuk kepentingan dan keselesaan masyarakat luar bandar," katanya pada Perhimpunan Rakyat Parlimen Pasir Salak dan majlis pelancaran Permodalan Felcra Berhad di sini hari ini.

Beliau berkata, kerajaan mahu melonjakkan pendapatan masyarakat luar bandar dengan memikirkan untuk mewujudkan nilai tambah, kemasukan teknologi baru serta meluaskan kemudahan perniagaan.

Katanya, Felcra yang mencatatkan rekod dividen sebanyak RM912.95 juta yang dianggap sangat baik membuktikan bahawa agensi seperti itu mampu memberikan kesan positif kepada transformasi luar bandar.

"Ini kejayaan luar biasa kepada Felcra yang membawa perubahan besar kepada masyarakat luar bandar," katanya.

Najib turut melancarkan Permodalan Felcra Berhad dengan dana pelaburan sebanyak RM100 juta.

Beliau juga menyampaikan surat hak milik kepada 10 peserta Felcra Berhad Seberang Perak mewakili 250 peserta secara keseluruhannya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment