My Add

Sunday 19 February 2012

Kuarters baru JKR bukti kerajaan tunai janji

NAJIB Tun Razak bersama Shaziman Abu Mansor (kiri) melawat rumah keluarga Abdul Rashid Dahalan (dua kanan) selepas merasmikan Kuarters Baru Jabatan Kerja Raya (JKR) di Batu 4 1/2, Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur, semalam. - MINGGUAN/FAUZI BAHARUDIN

KUALA LUMPUR, SABTU, 18 Februari, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pembinaan kuarters baru Jabatan Kerja Raya (JKR) di Batu 4 1/2, Jalan Sungai Besi di sini membuktikan kerajaan mengotakan apa yang dijanji kepada rakyat sebelum ini dan ia bukan sekadar retorik politik.

Perdana Menteri berkata, kuarters baru itu bakal didiami oleh 60 kakitangan kumpulan sokongan JKR dan menjadi contoh bahawa janji kerajaan yang dibuat sebelum ini untuk menggantikan kuarters lama yang sudah usang kini menjadi kenyataan.

"Rumah seperti ini jika di pasaran terbuka harganya boleh mencecah sehingga RM400,000. Jadi bayangkan kemudahan seperti ini dapat diberi kepada kakitangan sokongan kerajaan," katanya ketika berucap pada perasmian kuarters baru JKR di sini hari ini.

Hadir sama ialah Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor.

Najib berkata, kuarters yang dibina dengan kos RM19 juta dan memiliki tiga bilik tidur serta dua bilik air itu dapat disiapkan dalam masa kurang 18 bulan dan ia adalah lebih cepat daripada jadual sebenar.

Katanya, kuarters lama JKR di situ sangat tidak sesuai lagi didiami oleh kakitangan memandangkan ia hanya memiliki sebuah bilik tidur dan dibina sejak zaman perang dunia kedua lagi.

"Semasa melawat kuarters lama pada 2009, saya minta kementerian menggantikan kuarters buruk dan daif dengan yang baru dan dalam tempoh singkat sahaja, projek baru ini menjadi kenyataan," katanya.

Selain kuarters, terdapat kemudahan-kemudahan lain yang disediakan di situ seperti pusat asuhan kanak-kanak, gelanggang futsal, tempat meletak kereta dan taman permainan.

Pada September 2009, Najib mengumumkan peruntukan RM28 juta untuk membina kuarters JKR yang baru di situ bagi menggantikan kuarters jabatan itu yang serba kekurangan dan berkeadaan usang. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment