My Add

Tuesday 21 February 2012

KDN pinda peraturan keluarkan pas pelajar luar

PUTRAJAYA, ISNIN, 20 Februari, 2012: Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini meminda peraturan dengan menetapkan pas pelajar hanya akan dikeluarkan kepada warga asing yang telah sah mendapat tempat untuk menyambung pengajian di negara ini.

Ketua Setiausahanya, Tan Sri Mahmood Adam berkata, peraturan sebelum ini ialah warga asing dibenarkan masuk dan berada di Malaysia selama tiga bulan menggunakan Pas Lawatan Sosial bagi meninjau institusi bersesuaian dengan keperluan masing-masing.

‘‘Sejajar dengan itu, proses pengeluaran visa juga diperketatkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia dengan kerjasama agensi kawal selia sebagai pihak yang bertanggungjawab menguruskan kemasukan pelajar asing ke negara ini.

‘‘Keputusan ini diambil berikutan peningkatan kes penyalahgunaan pas pelajar oleh warga asing, khususnya membabitkan jenayah berkaitan dadah dan pelbagai kesalahan di bawah Akta dan Peraturan Imigresen,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mahmood berkata, pada masa sama, beberapa inisiatif lain turut dilaksanakan KDN bagi memantau isu pelajar asing dan antara yang utama ialah penubuhan Sub Unit Khas Pelajar dan Kumpulan Kerja Pemantauan Pelajar Antarabangsa (KKPPA).

Selain itu, katanya, Prosedur Operasi Standard (SOP) juga akan diseragamkan bagi memastikan tiada pertindihan bidang tugas antara agensi kawal selia membabitkan KDN, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pelajaran Malaysia, Jabatan Imigresen dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

‘‘Kita juga akan mengendalikan naziran bersepadu serta berkala melibatkan Imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pelajaran dan JPK; melaksanakan saringan keselamatan PDRM terhadap permohonan pelajar asing; mengambil data biometrik dan terakhir, mengintegrasikan sistem yang digunapakai agensi kawal selia dengan sistem yang diguna pakai oleh Imigresen,” katanya.

Semalam, Kementerian Pengajian Tinggi memutuskan warga asing yang ingin belajar di Malaysia perlu mengemukakan permohonan pas pelajar sebelum masuk ke negara ini, selain disyaratkan supaya menyertakan bersama surat pengesahan tawaran daripada institusi yang berkenaan. -  UTUSAN

No comments:

Post a Comment