My Add

Friday 17 February 2012

Perumahan Seksyen 7 mendap

PENDUDUK memerhatikan salah sebuah rumah di Jalan Plumbum, Seksyen 7 yang mendap di bahagian hadapan sehingga memecahkan jubinnya di Shah Alam, semalam.

Oleh AHMAD FADZLY ESA

SHAH ALAM, KHAMIS, 16 Februari, 2012:  Lebih 1,000 penduduk di Jalan Plumbum 101/107, Seksyen 7 di sini kini hidup dalam kebimbangan apabila bahagian hadapan dan belakang rumah mereka mendap sedalam kira-kira 0.3 meter selepas hujan lebat awal pagi kelmarin.

Ahli Jawatankuasa Persatuan penduduk kawasan berkenaan, Zain Wahinuddin Idris (gambar), 55, berkata, kejadian tanah mendap itu disedari oleh penduduk yang terkejut daripada tidur apabila mereka terdengar bunyi dentuman yang kuat pada pukul 2.30 pagi.

Menurutnya, beliau dan beberapa penduduk sudah membuat aduan mengenai kejadian tanah mendap yang berlaku di kawasan itu sejak 2006 lalu kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), namun tiada sebarang tindakan serius diambil.

“Malah, saya turut membuat laporan kepada pelbagai pihak lain seperti Jabatan Kerja raya (JKR) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), namun mereka seolah-olah tidak memandang serius perkara ini.

“Saya sangat sedih bila kejadian ini menjadi semakin teruk, ia melibatkan harta benda dan juga nyawa penduduk, ada sebahagian penduduk yang terpaksa berpindah sementara kerana bimbangkan keselamatan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati sebahagian ruang hadapan rumah beberapa penduduk di situ mendap dan menyebabkan berlaku hakisan di sekitar kawasan tersebut.

Tanah mendap itu turut menjejaskan kira-kira 35 hingga 40 buah rumah teres dua tingkat di kawasan tersebut.

Selain itu, sistem saliran longkang yang sempit dan tersumbat mengakibatkan air naik di bahagian hadapan rumah sehingga ke paras buku lali.

Mengulas lanjut, Zain memberitahu, rumah teres dua tingkat itu mula dibina pada tahun 2002 dan siap sepenuhnya pada Disember 2005 dan dijual dengan harga RM250,000

Menurutnya, kawasan perumahan itu merangkumi rumah teres dua tingkat sebanyak 168 unit dan rumah berkembar sebanyak 80 unit dengan PKNS adalah pemajunya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment