My Add

Tuesday 14 February 2012

Peneroka terkejut jumpa beruang di ladang sawit

JERANTUT, ISNIN, 13 Februri, 2012: Penduduk Felda Kota Gelanggi 2 di sini kini dihimpit kebimbangan ekoran penemuan beruang oleh dua peneroka ketika mengutip buah kelapa sawit di ladang mereka semalam.

Dalam kejadian pukul 9 pagi itu, beruang berkenaan dipercayai terjatuh ke dalam parit selepas cuba meniti sebatang kayu di ladang tersebut.

Penemuan itu menyebabkan penduduk kampung takut untuk mengutip buah kelapa sawit kerana yakin haiwan berkenaan masih berkeliaran di sekitar kawasan berkenaan.

Penduduk turut menjumpai kesan busut yang digali dan pokok kayu yang dipanjat oleh haiwan itu untuk mencari makanan seperti serangga dan pucuk tumbuhan.

Seorang peneroka Felda Kota Gelanggi 2, Baba Madon, 65, berkata, dia bergegas ke arah parit selepas mendengar bunyi benda yang jatuh ke dalam air.

"Saya mendapati seekor beruang betina yang sarat bunting di dalam parit dan cuba memanjat tebing.

"Saya berundur untuk memberitahu rakan dan selepas itu terpandang seekor lagi haiwan berkenaan dipercayai beruang jantan menghampiri parit," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini semalam.

Menurut Baba, beruang berkenaan mungkin sudah kehilangan habitat berikutan penebangan hutan berhampiran ladang.

Rakannya, Shaharuddin Shamsuddin, 40, berkata, sebaik tiba di kawasan itu dia melihat sepasang beruang sudah menyusup di celah pokok.

"Saya merakamkan gambar haiwan itu menerusi telefon bimbit tetapi hanya nampak bahagian mulutnya berwarna kekuningan dan kukunya tajam," ujarnya.

Tambahnya, sebelum ini beberapa peneroka pernah terserempak haiwan itu di ladang berdekatan, tetapi ia tidak pernah mengancam mereka malah melarikan diri jika terserempak dengan manusia.

Sehubungan itu katanya, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) diminta memantau perkembangan itu demi keselamatan penduduk. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment