My Add

Tuesday 14 February 2012

Suruhanjaya siasat isu pasir tidak perlu – MB

SHAH ALAM, ISNIN, 13 Februari, 2012: Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor menolak cadangan penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat dakwaan wujudnya skandal penyelewengan pasir di negeri ini yang turut dikaitkan dengan kes kematian ahli perniagaan, Datuk Patrick Wong Kie Yik.

Sambil menyatakan cadangan itu tidak perlu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memberikan alasan yang pengurusan syarikat monopoli perlombongan pasir di Selangor, Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB) dilakukan secara telus.

Selain itu, Abdul Khalid turut menjelaskan bahawa pihaknya telah berjumpa dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai dakwaan berkenaan dua tahun lalu dan meminta anggota suruhanjaya itu menempatkan anggotanya di KSSB untuk tujuan pemantauan.

“Justeru, cadangan untuk menubuhkan Suruhanjaya Diraja itu tidak perlu. Suruhanjaya Diraja adalah untuk mencungkil maklumat, tetapi kita sudah ada maklumat.... Jadi, tak payahlah cungkil lagi.

“Malahan, cerita yang didakwa oleh pengendali blog itu (Raja Petra Kamaruddin) adalah cerita lama,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan kakitangan awam Selangor, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas desakan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mahu satu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan pengendali portal Malaysia Today itu bahawa Patrick dibunuh demi menutup skandal penyelewengan pasir di negeri ini.

Terbaru, Raja Petra turut mendedahkan pembabitan dua wakil rakyat PKR Selangor, Shuhaimi Shafie dan Amiruddin Shari dalam skandal rasuah pasir tersebut.

Bagaimanapun, pada 11 Februari lalu, media melaporkan bahawa cadangan penubuhan Suruhanjaya Diraja berkenaan disokong oleh sekutu PKR iaitu DAP dan Pas yang mahu ianya diwujudkan hanya selepas pihak polis mendedahkan terlebih dahulu siasatan terhadap dakwaan tersebut.

Dalam perkembangan lain, Abdul Khalid ketika ditanya mengenai keputusan untuk merobohkan asrama milik Yayasan Selangor (YS) iaitu Asrama Toh Puan Norashikin dan Asrama Tun Dr. Ismail di Kampung Pandan, Kuala Lumpur memberitahu, pihaknya tetap dengan keputusan tersebut.

Katanya, pihaknya mempunyai rancangan untuk membangunkan lokasi berkenaan (untuk pembangunan komersial) dan telah mengambil kira penempatan semula para pelajar asrama-asrama terbabit. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment